KOTA KINABALU, 21 April – Pendekatan politik UMNO Sabah dilihat semakin lunak menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 apabila tiga tokoh utamanya kini terbuka kepada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Terbaharu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menyatakan kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan GRS bukan sesuatu yang mustahil.
Menurutnya, kestabilan politik hanya dapat dicapai sekiranya semua pihak bersikap terbuka dan sanggup mencari titik persefahaman bersama.
“Kalau nak capai kestabilan politik, gabungan ini tidak mustahil. Kita kena ada satu bentuk pemikiran yang terbuka,” katanya kepada Astro AWANI.
Sebelum Suhaimi, dua tokoh kanan UMNO Sabah turut menunjukkan kecenderungan sama.
Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dilihat sebagai antara yang awal menyokong idea penyatuan dengan GRS.
Beliau beberapa kali memberi isyarat terbuka termasuk menjemput Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ke Mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran tahun lalu.
Dalam kenyataan sebelum ini, Rahman menegaskan bahawa politik Sabah memerlukan kematangan dan kesediaan untuk melangkaui konflik lama demi kestabilan masa depan.
Sementara itu, Bendahari UMNO Sabah yang juga bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyeru pendekatan politik lebih inklusif dibentuk menjelang PRN akan datang.
Salleh berpandangan perkongsian kuasa secara lebih menyeluruh perlu dipertimbangkan bagi memastikan pentadbiran yang stabil pasca pilihan raya.
Namun pendirian ini berbeza dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan GRS.
Beliau berpegang kepada prinsip bahawa UMNO tidak wajar bekerjasama dengan pihak yang pernah mengkhianati mandat rakyat selepas PRU ke-15.
Nada serupa pernah disuarakan Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed.
Jeffrey menyifatkan kerjasama dengan GRS sebagai mustahil kerana mendakwa pentadbiran Hajiji gagal menangani isu rakyat dan dibayangi masalah integriti.
Pemerhati politik melihat kenyataan Suhaimi sebagai petanda UMNO Sabah kini berdepan dilema antara kekal dengan pendirian lama atau bergerak mengikut realiti politik semasa.
Dengan PRN Sabah dijangka selewat-lewatnya Oktober ini, landskap politik negeri itu dijangka terus berubah.-SUARA.TV