KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan mendakwa Kelantan antara negeri paling selamat di Malaysia kerana mencatat bacaan indeks jenayah kedua terendah di seluruh negara.
Menurut beliau, jenayah indeks ialah kesalahan seperti kekerasan, kes bunuh, merompak, mencuri dan rogol.
Fadzli berkata, laporan Jabatan Perangkaan terkini mengenai kadar jenayah di Malaysia menunjukkan Sabah negeri pertama paling selamat dengan indeks jenayah 95 per 100,000 penduduk, disusuli Kelantan dengan skor 96 per 100,000 penduduk.
“Jika dilihat laporan, tidak banyak perbezaan antara Kelantan dan Sabah. Kita boleh menguar-uarkan hasil daripada kajian indeks sosial ini dan langsung tiada istilah untuk menjadikan ia sebagai bahan politik,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai pencapaian kerajaan negeri dalam penghayatan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dalam sidang DUN Kelantan.
Tetapi, beliau berkata, Kelantan mencatat bacaan indeks jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah agak tinggi.
“Kerajaan dari semasa ke semasa mengambil pelbagai inisiatif seperti menubuhkan unit dakwah halaqah, mewujudkan enakmen kawalan hiburan, menutup kedai judi dan mengawal penjualan arak.
“Kita juga melakukan pengubahsuaian terhadap budaya rakyat Kelantan bertentangan Islam, sebagai contoh membabitkan persembahan makyung, wayang kulit dan lain-lain.”
Menurutnya, semua itu antara bukti pencapaian kerajaan negeri dalam penghayatan dasar MBI.