Hadi Awang Ibarat ‘Walid’ Politik, Sesatkan Amanah Umat – UMNO Selangor

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Zaidi Md Zain, mengecam kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menurutnya mengangkat kemenangan politik lebih tinggi daripada ibadah haji, satu pandangan yang disifatkan sebagai menyimpang dan membahayakan.

Memetik laporan UMNO Online, Dr Zaidi menegaskan bahawa kenyataan sedemikian bukan sahaja bertentangan dengan maqasid syariah, malah membuka ruang kepada eksploitasi agama demi matlamat politik yang sempit.

“Ia membuka ruang manipulasi agama dan menghalalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ yang jelas bertentangan dengan roh Islam yang sebenar,” katanya.

Beliau turut menyamakan pendekatan Abdul Hadi dengan watak fiksyen penunggang agama yang menyesatkan masyarakat dalam drama, namun memberi kesan lebih besar kerana berlaku dalam dunia nyata.

“Bezanya, Walid sesatkan akidah dalam layar perak, manakala Hadi Awang sesatkan amanah umat dengan ‘fatwa’ politik yang mengelirukan,” tegas beliau.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menyentuh sejarah panjang fatwa kontroversi PAS termasuk insiden berdarah Memali yang dikaitkan dengan Amanat Hadi pada 1981, yang mencetuskan sentimen kafir-mengkafir dalam kalangan umat Islam.

“Seruan beliau ketika itu sangat jahat, dan kini terbukti apabila beliau bersekongkol pula dengan musuh politik yang dahulu dilawan habis-habisan, kini dijadikan penasihat kerajaan negeri SG4,” katanya lagi.

Dr Zaidi turut membidas tindakan parti tersebut yang menyeru ahli untuk mengutip derma bagi menyelesaikan saman fitnah tanpa menunjukkan keinsafan terhadap kesalahan dilakukan.

“Islam meletakkan fitnah sebagai perbuatan yang lebih besar dosanya daripada membunuh. Inilah bentuk penyelewengan agama yang paling bahaya, bertopengkan parti Islam tetapi hakikatnya memperdagangkan agama untuk agenda politik,” katanya.

Mengakhiri kenyataan, beliau menyeru umat Islam agar lebih berhati-hati terhadap retorik politik yang membungkus kepentingan peribadi dengan label agama.

“Fatwa tanpa integriti bukan panduan, tapi racun. UMNO akan terus menegakkan politik berlandaskan adab, ilmu dan prinsip Islam yang sebenar,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat