Video: Suspek Bunuh Imam Palestin Masih Diburu Polis

KUALA LUMPUR – Polis menafikan gambar lelaki yang viral di media sosial kononnya adalah suspek utama kes pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti.

Bagaimanapun, lelaki dalam gambar berkenaan bukan ditahan atas kes pembunuhan itu, sebaliknya ditahan dalam serbuan kes rampasan senjata api dan dadah di OUG Parklane, Jalan Puchong, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata pihaknya mengesahkan ada menahan seorang lelaki berhubung kes pembunuhan berkenaan namun sudah dibebaskan malam semalam.

Lelaki warga India itu ditahan di kondominium yang sama pada jam 1.45 petang semalam bagi tujuan proses dokumentasi dan kemudian dibebaskan.

Beliau berkata tiada sebarang rampasan senjata api atau pun dadah yang dilakukan semasa pihak polis menahan lelaki warga India terbabit.

Tegasnya, tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan informasi tidak benar sebenarnya boleh menyebabkan siasatan terganggu.

Sementara itu, berdasarkan maklumat sumber, lelaki yang gambarnya tersebar ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, berdasarkan maklumat senjata api.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, pensyarah warga Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma ditembak dua suspek menaiki motosikal berkuasa besar ketika mangsa sedang berjalan kaki menuju ke surau berhampiran, tidak jauh dari pintu masuk hadapan kondominium berkenaan.

Mangsa yang ditembak lebih 10 das tembakan disahkan maut di tempat kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.