Pembangkang Tidak Sependapat

ALOR SETAR – Rakyat diingatkan supaya tidak termakan dengan janji politik Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dibuat gabungan pembangkang PKR yang mana hanya membawa kerugian dan penderitaan kepada mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, pertembungan ideologi dalam kalangan gabungan pembangkang PKR menunjukkan mereka tidak sependapat untuk mengurus dan mentadbir negara jika berjaya memenangi PRU-14.

“17 hari selepas manifesto pembangkang (gabungan pembangkang PKR) dibentangkan, diuar-uarkan pemimpin utama mereka dalam satu temu bual dengan akhbar di Singapura sebut, bahawa dia tidak yakin apa yang disebut itu akan dilaksanakan.

“Malah dia syak dalam kumpulan mereka itu, dia kata, ada orang sosialis dalam kumpulan. Dia anggap mereka ini sosialis. Bererti bahawa sudah ada pertembungan ideologi, bila ada pertembungan ideologi akan ada pertembungan dasar, bila berlaku ini bermakna mereka tidak sehaluan.

“Tak seia sekata dalam nak mengurus atau mentadbir negara. Kepincangan seperti itu dalam pembangkang bukanlah satu perkara yang kecil, pertembungan ideologi yang membawa kepada pencanggahan dasar adalah satu yang amat serius kerana akan mengakibatkan rakyat dalam kerugian, penderitaan sebab manifesto mereka tinggal janji dalam kertas sahaja,” katanya ketika berucap dalam program Sepagi Bersama Perdana Menteri sempena Majlis Pelancaran Pembinaan Tapak Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Kampung Padang Tembak, Bukit Pinang di sini, petik Utusan.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.