Jangan Cuba Takutkan Ahli UMNO

KEPALA BATAS – Setiap ahli UMNO dinasihatkan supaya terus fokus bekerja dan tidak gentar dengan tindakan pembangkang yang seolah-olah cuba menggugat kestabilan parti ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14(PRU-14) kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) membayangkan pembangkang bakal mengalami kekalahan besar pada PRU-14, menyebabkan mereka terpaksa menggunakan segelintir ahli UMNO untuk menakutkan ahli lain.

Sehubungan itu, katanya, setiap ahli UMNO diminta tidak terpengaruh, sebaliknya terus fokus dengan memantapkan gerak kerja untuk menang, sekali gus membolehkan perjuangan membela agama dan bangsa Melayu dapat diteruskan.

“UMNO adalah parti politik yang sudah lama bertapak dan paling penting sentiasa mengikut perlembagaan serta undang-undang tanpa diragui lagi.

“Jadi, jangan sesekali datang dan cuba menakut-nakutkan ahli UMNO dengan menyatakan parti ini tidak sah,” katanya ketika mengulas pemecatan 16 ahli UMNO yang memfailkan semakan kehakiman bagi membubarkan UMNO selepas Majlis Perasmian Program Memperkasa Ekonomi Kaum India di Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar turut merasmikan Program Jualan Bantu Rakyat di lokasi sama yang dikunjungi lebih 500 penduduk.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, tindakan memecat ahli UMNO wajar dan ia termaktub mengikut undang-undang perlembagaan parti.

“Keputusan itu wajar apatah lagi UMNO adalah pertubuhan yang mempunyai perlembagaan parti terhasil berdasarkan pembelajaran daripada pengalaman lalu,” katanya

Sebelum ini, 16 ahli UMNO dari lima negeri dipecat selepas memfailkan semakan kehakiman bagi membubarkan UMNO di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.