Saitis Australia Yakin MH370 Berada Di Zon Utara Kawasan Carian

KUALA LUMPUR – Saintis terkemuka Australia dari Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) yakin pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang kemungkinan besar berada di utara zon pencarian sebenar.

Saintis penyelidikan utama CSIRO, Dr David Griffin berkata, dapatan laporan terbaharu itu menyokong kesimpulan kawasan pencarian baharu yang dikenal pasti First Principles Review yang dikeluarkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), agensi utama bagi pencarian MH370 pada Disember lalu.

“Ia menunjukkan lokasi yang kemungkinan besar bagi MH370 ialah di kawasan pencarian baharu yang dikenal pasti dan disyorkan Laporan First Principles Review, dan kemungkinan besar di hujung selatan, dekat 35 darjah selatan.

“Kita tidak boleh pasti sepenuhnya, tetapi di situlah semua petunjuk kita menjurus kepadanya dan usaha baharu ini memberi lebih keyakinan dalam pencarian kita,” kata Griffin dalam laporan yang dimuat naik ke laman web ATSB hari ini.

Laporan First Principles Review mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 25,000 persegi di utara kawasan pencarian asal sebagai kawasan dengan kebarangkalian tertinggi menemui bangkai pesawat tersebut.

MH370 hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur bersama 239 orang yang berada dalam pesawat pada 8 Mac 2014. Laluan penerbangan terakhir MH370 dipercayai ialah di selatan Lautan Hindi.

Dalam ujian terkini, Griffin berkata, laporan terbaharu itu menampilkan data dan analisis daripada pengujian di samudera terhadap flaperon Boeing 777 yang asli – sebahagian daripada sayap pesawat yang menambah tahap kepastian tambahan terhadap penemuan hasil model penyimpangan sebelumnya.

Pengujian itu mahu memastikan jika flaperon yang asli hanyut lurus melawan arah angin seperti replika atau berada pada sudut, dan tahap kelajuannya merentasi air.

“Kami mendapati flaperon asli hanyut kira-kira 20 darjah ke kiri, dan lebih pantas daripada replika, seperti yang kami fikir ia berkemungkinan. Penemuan flaperon MH370 di Pulau La Reunion pada Julai 2015 sekarang baru masuk akal.”

Menurut beliau, adalah penting untuk mengetahui bagaimana flaperon dan serpihan lain MH370 yang ditemui itu bertindak balas kepada angin, ombak dan arus Lautan Hindi.

“Kami menambah kedua-duanya (angin dan ombak) bersamaan model untuk simulasi bagaimana ia hanyut melintasi lautan, kemudian membandingkan hasilnya dengan pengamatan yang serpihan ditemui dan tidak ditemui untuk merungkaikan mengenai lokasi pesawat,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.