Dakwa Sistem Kuota Hina Melayu, Pemuda PKR Bidas Khairy

Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan sistem kuota sebagai suatu penghinaan kepada kaum Melayu disifatkan sebagai ‘cetek, tidak tepat dan bermuka-muka’.

Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK), Dr Afif Bahardin berkata, pelaksanaan sistem itu pada awalnya berniat baik tetapi akhirnya gagal mencapai tujuan kerana amalan rasuah.

“Pelaksanaan sistem kuota dan juga beberapa polisi afirmatif sebelum ini pastinya dimulakan atas niat dan prinsip asas yang kuat iaitu sebagai satu ikhtiar untuk mengembalikan keadilan sosial serta memastikan pengagihan ekonomi yang saksama.

“Malangnya kebijakan semulia ini apabila diurus oleh mereka yang korup dan tamak telah mengakibatkan pelaksanaannya tidak mencapai maksud yang dicita-citakan.

“Maka adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa sistem kuota harus dianggap sebagai satu penghinaan kepada orang Melayu dan Bumiputera,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Khairy dalam wacana bersama anak muda India Malaysia mengenai Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) baru-baru ini dilapor berkata, kaum Melayu perlu bergerak ke hadapan tanpa memerlukan sistem kuota.

“Kita perlu melihat (sistem) kuota ini suatu penghinaan, di mana kita perlu kuota untuk bergerak ke depan.

“Saya mahu supaya satu hari nanti, masyarakat Melayu boleh kata kita masuk universiti bukan pasal kuota,” kata Khairy.

Mengulas lanjut, Afif berkata penghinaan sebenar berlaku apabila sistem kuota dijadikan alasan untuk menghalalkan amalan buruk parti pemerintah.
“Penghinaan kepada bangsa Melayu adalah apabila rasuah berleluasa, penyalahgunaan kuasa dan kedudukan oleh pimpinan Umno yang mempergunakan sistem kuota ini untuk kepentingan peribadi dan kelompok, serta ketirisan parah yang melanda pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional,” ujarnya.

Afif berkata, mengangkat martabat kaum Melayu yang susah bukan suatu penghinaan malah keperluan untuk membangunkan negara.

“Agenda Melayu yang jujur adalah agenda memartabatkan orang Melayu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan mereka yang lain,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.