Vida Kecewa Prestasi Kelantan Tak Menentu

KOTA BAHRU ― Prestasi turun naik yang dipamerkan pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (TRW) pada musim ini mengecewakan penaja baharunya, Datuk Seri Hasmiza Othman.

 

Hasmiza, atau lebih dikenali Vida berkata, jika isu itu tidak dipandang serius Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), ia bukan sahaja menyebabkan imej pasukan tercalar, malah memberi kesan buruk kepada dirinya sendiri.

 

“Saya sebagai penaja bukan saja kecewa, malah tertekan kerana turut dipersalahkan dengan kemerosotan prestasi Kelantan. Tanpa sebarang tindakan tegas, masalah ini akan berterusan dan boleh memberi kesan buruk kepada saya sendiri.

 

“Saya bukan hendak mencampuri urusan KAFA, sebaliknya mahukan jalan penyelesaian terhadap masalah ini. Kemerosotan prestasi Kelantan sebenarnya sudah bermula pada awal musim, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

 

“Kita tidak boleh tunggu pasukan jatuh teruk, baru mahu bertindak. Kita masih ada masa untuk membaiki semula kedudukan Kelantan,” katanya dipetik laporan Berita Harian, hari ini.

 

Penasihat Kehormat itu berkata, pengurusan KAFA perlu mengenalpasti punca kemerosotan pasukan sama ada daripada taktikal, pemain import atau jurulatih itu sendiri.

 

TRW malam kelmarin tewas 3-4 menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, menyebabkan pasukan itu jatuh di tangga ketujuh dengan kutipan sembilan mata di bawah Kedah selepas bermain lapan perlawanan.

 

Vida berkata, sepatutnya tidak lagi ada alasan bagi TRW mempamerkan prestasi buruk memandangkan masalah kewangan seperti yang dihadapi KAFA musim lalu sudah diuruskannya.

 

“Jika musim lalu, kita boleh salahkan faktor kewangan, tetapi kali ini saya sudah bantu untuk ‘mencukupkan’ dana, sebaliknya masalah sama tetap berlaku.

 

“Apa yang berlaku ini bukan apa yang saya harapkan untuk musim ini. Saya harap KAFA lakukan sesuatu,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.