Anak Jati Sarawak Wakili Negara Jelajah Kutub Utara

PETRA JAYA – Rakyat Sarawak mempunyai sebab untuk berbangga apabila seorang anak jati negeri itu, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 36, diumumkan sebagai wakil negara dalam ekspedisi menjelajah Kutub Utara pada awal tahun depan.

 

Misi ekstrem yang dianjurkan Kelab Ekspedisi Tujuh Benua (KE7B) ini adalah kesinambungan usaha membawa nama negara ke persada dunia susulan kejayaan sebelumnya dalam misi merentasi Kutub Selatan pada awal tahun ini.

 

Mengulas pemilihannya dalam ekspedisi tersebut, Muhammad Irwan yang berasal dari Kuching berkata, penyertaan kali keduanya bersama KE7B ini merupakan peluang untuk dirinya membawa nama Sarawak dan Malaysia ke peringkat dunia.

 

“Saya bersyukur kerana diberi peluang ini bukan sahaja untuk mengharumkan nama Malaysia, malah mewakili Sarawak ke persada antarabangsa,” katanya.

 

Pemilihan Muhammad Irwan sebagai penjelajah negara ke Kutub Utara itu diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pagi tadi.

 

Sebagai persediaan awal sebelum penjelajahan tersebut bermula pada April 2017 itu, Muhammad Irwan akan mengikuti beberapa siri latihan yang dikelolakan KE7B sebagai persiapan fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran dalam jelajah ekstrem itu kelak.

 

“Latihan amat penting dan sebab itulah untuk masa yang ada sekarang ini saya akan memfokuskan latihan di Kem Induk Everest selain latihan di Korea dan Jepun sebagai persediaan awal.

 

“Malah sebelum ini latihan-latihan lain juga telah saya lakukan di New Zealand dan Nepal,” ujarnya lanjut.

 

Pada 2014, Muhammad Irwan turut mencipta nama bersama tujuh lagi penjelajah apabila mencipta rekod sebagai kumpulan rakyat Malaysia yang pertama berjaya merentasi bumi berais Greenland. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.