Zizan Di Ambang Kejatuhan?

Terpalit dengan satu demi satu kontroversi dan beberapa isu panas sejak kebelakangan ini, timbul spekulasi mengatakan pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak kini diambang kejatuhan.

 

Lebih menyedihkan, Zizan dikatakan sudah mula menunjukkan perangai sering mengelak bertemu media dan sukar memberikan komitmen.

 

Namun begitu, Zizan masih menjadi inspirasi pada kanak-kanak apabila dipilih sebagai salah seorang juri tetap program realiti kanak-kanak, Ceria Popstar musim ketiga.

 

Menurut Penolong Naib Presiden Astro Ceria dan Segmen Remaja, Hadzelynda Khairuddin, produksi memberikan sepenuh kepercayaan kepada Zizan untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan.

 

Katanya, setakat ini Zizan memberikan komitmen yang baik menerusi beberapa rakaman program tersebut yang dijalankan pihak produksi.

 

“Pemilihannya sebagai juri kerana selama ini dia juga merupakan idola dan inspirasi ramai kanak-kanak.

 

“Walaupun dia dihimpit dengan kontroversi, kami yakin dengan kredibiliti dan rasanya tidak adil jika kita terus menuduh dia dengan dakwaan yang belum pasti misalnya mengenai isu pelawak kasanova.

 

“Setakat ini Zizan tidak menimbulkan masalah kepada produksi. Malah, kami sudah jalankan sesi rakaman program ini dan Zizan memberikan komitmen seperti yang produksi mahukan,” kataya ketika ditemui pada sidang media Ceria Popstar 3 di Kuala Lumpur, semalam.

 

Hasil daripada ujibakat yang diadakat di empat lokasi seluruh negara iaitu Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Selangor berjaya mengenal pasti  10 finalis berusia antara 10 sehingga 15 tahun yang berbakat dan mempunyai kelebihan masing-masing.

 

“Selain mengutamakan vokal, musim kali ini juga kami mahu melahirkan seorang bintang cilik yang mempunyai daya keyakinan tinggi.

 

“Sepanjang program ini mereka akan mendapat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar yang dipilih dalam kalangan selebriti yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran masing-masing.

 

“Kesemua perserta akan mula berlatih pada setiap hari Jumaat sebelum sesi rakaman dijalankan pada hari Ahad.

 

“Di samping memberi tumpuan pada pertandingan ini, peserta juga tetap diberi masa untuk mengulangkaji pelajaran.

 

“Kita menyediakan seorang tutor untuk mengajar mereka subjek-subjek utama,” katanya.

 

Program yang akan bermula pada 1 Mei ini di Astro Ceria mengekalkan Datuk Aznil Nawawi sebagai penaung program manakala Nabil Ahmad sebagai hos.

 

Selain itu, Johan Raja Lawak menggalas tugas sebagai seorang lagi juri tetap manakala Stacy, Hazama dan Ronnie (Hyper Act) sebagai tenaga pengajar. – MD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.