Remaja Mula Hisap Shisha Seawal Usia 15 Tahun

Kota Bahru – Golongan muda berusia seawal 15 tahun dikesan terbabit dalam akiviti menghisap shisha yang disediakan dengan harga serendah RM10 oleh pengusaha premis makanan di daerah ini.

 

Setiausaha Majlis Daerah Ketereh (MDK), Tengku Sharifuddin Tengku Shah Budin berkata gejala itu semakin serius dalam kalangan generasi muda kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.

 

Justeru, katanya pihaknya sedang giat menjalankan operasi membanteras kegiatan menjual shisha di premis perniagaan di sekitar dearah ini.

 

Dalam operasi bersepadu bersama Kementerian Dalam Negeri dan polis selama enam jam berakhir 2 pagi tadi, MDK merampas 27 peralatan menghisap shisha dari empat buah  premis makanan di sekitar Salor dan Pendek di sini.

 

“Kebanyakan shisha ini dijual di kedai-kedai makan dan ia mula beroperasi lewat malam untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di pejabat MDK di sini, hari ini.

 

Beliau berkata dalam serbuan itu, selain alat menghisap shisha, pihaknya turut merampas sebuah set karaoke dengan kesemuanya bernilai RM7,000.

 

“Kita akan  teruskan operasi dari semasa ke semasa dan rampasan ini hasil daripada risikan yang bermula sejak seminggu yang lalu,” katanya.

 

Tengku Sharifuddin berkata  alam operasi berkenaan sebanyak enam kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana ingkar arahan dan boleh didenda tidak  elebihi RM500.

 

Shisha adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap tembakau pelbagai perisa bagi menggantikan rokok atau cerut dan ia popular di negara-negara Timur Tengah. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.