Polis Soal Siasat Abang Ketua Polis Negara Hari Ini

Petaling Jaya – Abang kepada ketua polis negara, Datuk Abdullah Abu Bakar akan dipanggil polis hari ini untuk disoal siasat berhubung insiden protes di depan gereja di Taman Medan, Petaling Jaya, Ahad lalu.

 

Menurut portal Malaysian Insider, polis telah menghubungi Abdullah dan memintanya untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya hari ini.

 

“Sekiranya tiada sebarang halangan, saya akan hadir untuk disoal siasat pada hari ini juga.

 

“Saya akan datang hari ini kerana saya pun tidak suka perkara ini bertangguh-tangguh,” katanya kepada portal berkenaan.

 

Ditanya apakah terdapat lagi kumpulan protes pada Ahad lalu dipanggil polis, Abdullah berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

 

“Saya tidak tahu orang lain ada dipanggil atau tidak ,” kata Abdullah yang merupakan ketua Umno cawangan Taman Lindungan Jaya.

 

 

Ahad lalu kira-kira 50 orang berkumpul di luar gereja baharu itu pada Ahad, yang terletak di sebuah rumah kedai, menuntut salib dipasang di rumah ibadat itu dibuang kerana dikatakan mengancam Islam.

 

Salah seorang pemimpin Umno yang turut hadir ialah Datuk Abdullah Abu Bakar, abang kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

 

Penunjuk perasaan dilaporkan berkata kewujudan salib di kawasan majoriti Melayu Islam itu mencabar agama Islam dan boleh menjejaskan akidah anak muda.

 

Salib berkenaan dibawa turun oleh pemimpin gereja beberapa jam selepas protes itu.

 

Bagaimanapun Abdullah menafikan beliau bukan merupakan ketua kampung dan tidak mengetuai protes tersebut sebaliknya hanya bertindak sebagai orang tengah bagi meredakan keadaan.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam reaksinya berhubung penglibatan abangnya tidak menganggap ianya dapat dikaitkan dengan Akta Hasutan.

 

Namun pendirian beliau bercanggah dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan kes itu perlu disiasat kerana mempunyai kecenderungan menghasut.

 

Semalam pada sidang medianya, Khalid menegaskan beliau bersikap profesional dan menjamin tidak akan terlibat dalam kes abangnya itu.

 

“Saya tidak risau jika tindakan diambil ke atas abang saya dan sekiranya membabitkan sebarang kesalahan, saya tidak akan masuk campur dengan siasatan dijalankan polis Selangor.

 

“Kita akan siasat. Biar pihak berkuasa, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.