PM New Zealand Minta Maaf, Sebab Tarik Rambut Pekerja Kafe

Wellington – Perdana Menteri (PM) New Zealand, John Key memohon maaf kepada seorang pekerja kafe, kerana berulang kali menarik rambutnya, ketika beliau mengunjungi kafe itu sejak beberapa bulan lalu, walaupun selepas wanita itu memberi amaran kepada pemimpin negara itu.

 

Pekerja terbabit meninggalkan catatan tanpa nama di laman web The Daily Blog pada Rabu, dengan mengadu Key mula menarik rambutnya sejak tahun lalu, ketika kempen pilihan rayanya mencapai kejayaan dan beliau meneruskan perbuatan itu sehingga hujung Mac lalu.

 

Menurut wanita itu, beliau pada mulanya hanya mendiamkan diri, kerana menganggap Key mungkin hanya bergurau dan bermain-main dengannya.

 

Namun, pekerja berkenaan kemudiannya memaklumkan pengawal keselamatan Key, bahawa beliau tidak suka Key memperlakukannya demikian dan berulang kali mengulangi pendiriannya itu.

 

Key bagaimanapun tidak mempedulikan amaran itu dan masih menarik rambutnya pada kunjungan berikutnya.

 

Kali ini, wanita itu memberi amaran kepadanya supaya berhenti berbuat demikian “atau saya akan pukul anda tidak lama lagi.”

 

“Saya betul-betul tidak suka. Saya rasa tidak berdaya, terseksa dan saya pergi ke belakang dan saya menangis,” demikian tulis wanita berkenaan.

 

Menurut mangsa, Key kembali ke kafe berkenaan tidak lama selepas kejadian terakhir itu, dengan membawa dua botol wain dari ladang anggurnya dan memohon maaf kepada wanita itu.

 

“Ini untuk anda, minta maaf, saya tidak sedar,” demikian kata Key.

 

Pejabat Key mengeluarkan satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, pemimpin negara itu mempunyai hubungan baik dengan pekerja di kafe berkenaan, kerana beliau bersama isterinya sering mengunjungi kafe terbabit yang terletak berhampiran rumahnya.

 

“Tindakannya itu untuk suka-suka. Bukan niatnya membuat beliau tidak selesa dan Key telahpun memohon maaf kepadanya,” demikian menurut kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.