Pertembungan Ulama vs Profesional Selesai Selepas Pemilihan – Haron Din

Bangi – Pertembungan dua aliran dalam PAS yang timbul setiap kali musim pemilihan pucuk pimpinan pusat akan terhenti selepas keputusan proses undian tersebut diumumkan, kata Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din.

 

Jelas beliau, meskipun umum melihat pertembungan ulama dan profesional semakin memuncak menjelang muktamar tahunan PAS pada Jun namun secara realiti itu bukan senario sebenar dalam parti itu.

 

“Yang sedang kita tempuh sekarang ini PAS dilihat oleh mata ahli-ahli politik dan penilai politik tanah air digambarkan sebagai ada sedikit perpecahan hasil dariPada gabungan yang berlaku dalam PAS iaitu ulama dan profesional,” katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.

 

Namun katanya, pertembungan ulama dan profesional hanya hangat apabila tiba musim pemilihan yang berlaku setiap dua tahun menambah kedua-dua golongan itu saling melengkapi satu sama lain.

 

“Gandingan ini melahirkan satu rumpun insan masa yang berjuang masing-masing saling melengkapi yang mana kekurangan yang sepatut ditempuh oleh ulama dapat ditampung oleh profesional.

 

“Profesional pula yang pasti ada kekurangannya maka ditampung oleh ulama, kalau itulah kita berjalan memanglah kita semakin hari semakin mantap,” katanya.

 

Pemilihan Jawatankuasa PAS diadakan setiap dua tahun dan bagi pemilihan jawatan peringkat pusat kali ini akan diadakan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-61 yang dijangka 1 Jun ini.

 

Menjelang pemilihan parti, Preiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan golongan ulama dilihat menjadi sasaran golongan profesional dan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

 

Abdul Hadi dikatakan melihat golongan berkenaan sebagai terlampau mendokong agenda Pakatan Rakyat sehingga mengabaikan perjuangan Islamiah PAS.

 

Keadaan bertambah buruk apabila pendedahan yang terbaharu apabila Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu didakwa mahu menggulingkan Abdul Hadi di dalam satu rakaman audio yang disebarkan secara meluas.

 

 

 

PAS sudah biasa dengan polemik profesional dan ulama

 

Dalam pada itu, Haron menambah dakwaan bahawa profesional mahu mengulingkan ulama tidak benar.

 

“Tapi dilihat dalam era yang terkini ini macam ada pertembungan antara dua golongan sampai timbul tuduhan, telahan atau desas-desus yang mengatakan bahawa profesional sudah nak menggulingkan ulama.

 

“Ulama tidak bertindak untuk menggulingkan profesional sebab kita faham pandangan mereka,”katanya.

 

Ekoran polemik yang timbul, ujar pengamal perubatan Islam ini lagi, terdapat beberapa kawasan PAS bertindak menamakan calon lain untuk mencabar Abdul Hadi pada pemilihan nanti.

 

“Kerana itulah sampai ada cadangan dan timbul keputusan daripada beberapa kawasan yang mencalonkan calon baru untuk menandingi atau mengambil alih tugas presiden.

 

“Tapi selama ini kita dengar hanya ada seorang yang juga ulama iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dicalonkan tapi dia awal-awak telah menolak.

 

“Ada juga yang mencadangkan Datuk Husam Musa dan tidak tahu lagi menerima atau menolak,” katanya.

 

Namun tegas Haron, perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan kepada PAS menjelang pemilihan pusat dan akan terhenti selepas diketahui pemenang bagi setiap jawatan yang dipertandingkan.

 

“Apa pun PAS sudah biasa dengan hal-hal yang sebegini, PAS telah pun menempuh hal begini dan kalau berlaku sedikit kebisingan ataupun percikan politik ia akan berakhir apabila sampai kepada muktamar ada pemilihan dan dapat keputusan daripada ahli-ahli yang hadir dalam muktamar.

 

“Siapa yang menang pada ketika itu maka selesailah, biasanya akan selesai,” katanya.

 

Untuk rekod, pada muktamar PAS tahun 1983, semua jawatan utama iaitu presiden, timbalan presiden dan dua naib presiden adalah ulama. Selama tiga dekad selepas itu, presiden dan timbalan presiden PAS adalah ulama.

 

Namun, pemilihan Mohamad atau dikenali ‘Mat Sabu’ sebagai Timbalan Presiden PAS untuk dua penggal berturut-turut sejak 2011 mengalahkan dua tokoh ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan kemudian Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengubah senario.

 

Kedudukan Mat Sabu dalam parti dan popularitinya dalam kalangan pemimpin PKR dan DAP membuka ruang lebih besar memperkukuh posisi golongan bukan ulama dalam PAS. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.