Pendekatan Bersepadu Kawal Peniaga Penipu

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu pendekatan bersepadu mengawal kenaikan harga barangan keperluan serta tindakan serius seperti menyenaraihitamkan peniaga-peniaga yang menggunakan alasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk menaikkan harga barang.

 

Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, tindakan peniaga itu sekali gus diibarat menipu pengguna terutama melibatkan barang keperluan  sehingga membebankan pembeli.

 

“Ini berdasarkan beberapa tinjauan yang dibuat serta maklum balas diterima. Perlu wujud suatu gerakan bersepadu melibatkan semua kementerian, syarikat milik kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau harga barang.

 

“Kekeliruan dan persepsi negatif rakyat perlu ditangani secara serius bagi memastikan agar perlaksanaan berjalan dengan jayanya seperti objektif dasar ini diperkenal,” katanya ketika menghubungi Astro AWANI.

 

Sebelum ini Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Maria Madel memberitahu, masih ramai yang keliru dengan beberapa perkara tertentu mengenai GST kerana tidak didedahkan dengan maklumat yang mencukupi.

 

Irmohizam juga  berharap agar maklum balas yang diterima oleh rakyat akan diambil tindakan segera dengan penguatkuasaan undang-undang serta dihebahkan di media.

 

“Semua pihak perlu faham, media perlu main peranan masing-masing dalam menghebahkan maklumat tepat dan difahami peniaga serta pembeli,” jelasnya.

 

Irmohizam yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia sebelum ini turut memberi amaran kepada semua peniaga ikan agar tidak menjual ikan pada harga yang tidak munasabah susulan pelaksanaan GST.

 

“Kita tidak teragak-agak untuk menyenaraihitamkan mereka yang berkenaan.

 

“Siapa kata ikan segar dikenakan GST? Malahan bekalan ikan segar sehingga kini masih cukup untuk menampung permintaan pasaran semasa,” jelasnya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.