Peminat K-Pop Marah Jakim, Ugut Ke Luar Negara Tonton Konsert

Peminat tempatan budaya pop Korea, atau K-Pop, menyatakan kesanggupan mereka terbang ke luar negara sekiranya peraturan ketat yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghalang artis kesayangan mereka mengadakan persembahan di Malaysia.

 

Venus, pentadbir sebuah kelab peminat tempatan K-Pop online berkata, ramai peminat tidak senang dengan reaksi Jakim yang dibuat selepas kontroversi melibatkan gadis Melayu bertudung memeluk dan mencium ahli kumpulan penyanyi lelaki Korea dalam satu konsert Januari lalu.

 

Katanya, pihak berkuasa menyasarkan peminat K-Pop tetapi seperti terlepas pandang suasana hiburan tempatan, yang turut mengandungi banyak aksi tidak senonoh ketika berinteraksi dengan peminat mereka.

 

“Ramai peminat K-Pop tidak akan teragak-agak pergi ke luar negara menonton persembahan idola mereka jika artis tidak mahu datang ke sini kerana peraturan yang ketat dikenakan pihak berkuasa,” katanya.

 

Katanya, peminat tegar ini sanggup bekerja lebih masa hanya untuk mengumpul wang yang cukup dan mendapat peluang menonton persembahan artis kegemaran mereka dengan lebih dekat.

 

Venus berkata demikian ketika mengulas mengenai garis panduan terkini yang dikeluarkan Jakim minggu lalu yang mengenakan kawalan ketat terhadap personaliti, cara berpakaian, tingkah laku dan persembahan artis dan penghibur ketika membuat persembahan di negara ini.

 

Garis panduan itu juga menetapkan tiada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan di kalangan penonton konsert dan persembahan pentas dan menyekat muzik dan lirik lagu yang mengandungi unsur ‘pemujaan’.

 

Katanya, tiada sebab untuk pihak berkuasa bertindak sebegitu kerana penganjur konsert dan syarikat hiburan selama ini mematuhi garis panduan sedia ada apabila mereka mahu membawa artis luar ke dalam negara.

 

“Mereka ambil inisiatif sendiri dan mempertimbangkan sensitiviti agama di Malaysia,” kata Venus.

 

Salah satu contohnya ialah ketika konsert Taeyang daripada kumpulan Big Bang, di mana Taeyang sendiri bertindak memakai sarung tangan untuk berjabat tangan dengan peminat wanita tempatan.

 

Begitu juga semasa persembahan GOT7 di KL Live, di mana peminat dikehendaki menandatangani satu surat aku janji bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

 

Venus berkata, garis panduan seperti pengasingan lelaki perempuan juga sukar untuk dilaksanakan dan mendatangkan masalah logistik, sambil mempersoalkan jika langkah itu benar-benar akan menyelesaikan atau mengelakkan masalah sosial.

 

“Sejauh mana mereka pasti yang dengan mengasingkan lelaki dan perempuan, situasi seperti sebelum ini boleh dielakkan?” soalnya merujuk kepada insiden peluk cium itu.

 

Seorang peminat tegar K-Pop, Mia, 24, berkata, garis panduan Jakim, yang dibuat susulan kejadian itu, akan memberi persepsi salah mengenai Islam.

 

“Saya tak ada sebarang masalah dengan garis panduan itu, tetapi ia perlu dilaksanakan perlahan-lahan. Kita ada ramai orang bukan Islam di negara ini, dan mereka tidak kisah jika artis berpakaian seksi.

 

“Untuk melaksanakan sesuatu, mestilah adil,” katanya sambil menambah, secara peribadi beliau tidak ada masalah dengan pengasingan antara lelaki dan perempuan kerana ia akan membuatkan beliau lebih selesa menonton sesuatu konsert.

 

“Kita tak mahu orang luar pandang pelaksanaan ini dengan cara yang salah, kerana mereka (pihak berkuasa) hanya buat apa-apa bila sesuatu isu timbul. Kalau takda isu, mereka tak buat apa-apa,” katanya.

 

Seorang lagi peminat yang hanya mahu dikenali sebagai Raihanna Aleesya juga berkata dia tidak ragu-ragu yang garis panduan itu mendatangkan kebaikan, tetapi merasakan pihak berkuasa juga perlu mengambil kira penonton bukan Islam.

 

“Sebagai satu garis panduan, ia sesuatu yang baik. Tetapi untuk mengasingkan antara lelaki dan perempuan, tetapi saya rasa kita perlu lihat dari sudut yang berbeza.

 

“Ini kerana, kita tinggal di negara berbilang kaum dan agama. Kita perlu hormat kaum lain dan penganut agama lain,” katanya.

 

Jakim pada Selasa menjelaskan, garis panduan yang dikeluarkan itu hanya mengemas kini garis panduan sedia dan tidak mengandungi sebarang unsur penguatkuasaan.

 

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata, matlamatnya ialah untuk mendidik industri hiburan, sambil menambah, ia bukan undang-undang.

 

Pemain industri bagaimanapun tidak pasti jika garis panduan akan diterima baik, terutamanya oleh peminat bukan Islam.

 

Syarikat label muzik Erama Creative yang pernah menganjurkan konsert K-Pop menjangkakan penerimaan penonton bukan Melayu tidak akan sebaik penonton Melayu yang disifatkannya terpaksa akur dengan peraturan tersebut.

 

“Mungkin kita majoriti Melayu bersetuju, tetapi bagaimana dengan penonton kaum Cina dan India?” soal penerbitnya Muzzafar Salleh.

 

Katanya, syarikatnya tidak menghalang peraturan yang ditetapkan Jakim, bagaimanapun mempersoalkan mengapa ia dilaksanakan hanya kerana setelah timbulnya pelbagai isu.

 

“Sejujurnya tidak ada kesan yang terlalu besar dapat dilihat dengan peraturan tersebut. Contoh daripada segi kedatangan artis luar di Malaysia, mereka boleh faham dan patuh dengan peraturan dan budaya negara ini.

 

“Namun persoalannya mengapa baru sekarang mahu diasingkan kenapa tidak dari dulu? Ia seperti peraturan dibuat kerana ada pelbagai isu. Tapi sekiranya itu jalan terbaik, maka teruskan,” katanya.

 

Erama Creative merupakan syarikat muzik tempatan yang menganjurkan konsert GOT17 pada Mac lalu.

 

Manakala, presiden Rakaman Industri Malaysia (RIM) Norman Abdul Halim berkata, persatuannya akan menyatakan pendirian rasminya berhubung garis panduan tersebut selepas satu perbincangan dengan semua pihak berkepentingan Jumaat ini.

 

“Kita juga kini sedang mengkaji garis panduan baru Jakim itu dan melihat adakah terdapat pertindihan dengan peraturan, undang-undang dan tatacara yang lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.