PasMa Hantar Pasukan Sokong Calon Pakatan di Permatang Pauh

Kuala Lumpur – Pertubuhan pro Pakatan Rakyat (PR), Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan menghantar sekumpulan sukarelawan untuk menyokong calon pakatan pembangkang itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, kata PasMa Selangor.

 

Timbalan presidennya, Mohamad Abdul Rahman berkata, pasukan sukarelawan yang akan dikoordinasikan oleh Shakimin Mohd Zain akan dilancarkan ketika konvensyen PasMa Selangor dan Wilayah Persekutuan pada Ahad.

 

“Ketika konvensyen itu, kita akan melancarkan skuad sukarelawan daripada PasMa Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk membantu PRK Permatang Pauh,” katanya, kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

 

Beliau berkata, sokongan untuk PRK Rompin berkemungkinan dilakukan PasMa cawangan negeri lain berhampiran kawasan tersebut, seperti diputuskan jawatankuasa Pusat PasMa.

 

Semalam, sayap pemuda DAP dan PAS kembali bekerjasama untuk menyokong kempen PR di Permatang Pauh.

 

Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Pulau Pinang Ng Wei Aik berkata, mereka bersedia mengetepikan perbezaan bersama PAS demi kepentingan PRK Permatang Pauh, yang ditandingi PKR untuk mempertahankan kerusi itu.

 

Beliau berkata, tindakan itu perlu untuk menyokong kempen PR, dan tidak bermakna kedua-dua pihak memperbaharui kerjasama mereka.

 

Hubungan antara dua sayap parti itu terjejas susulan isu hudud, selepas kerajaan Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II negeri itu pada 19 Mac lalu.

 

Mohamad bagaimanapun berkata, Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sudah menemui parti PR untuk membincangkan rancangan jangka panjang untuk menubuhkan PR sebagai parti politik berdaftar.

 

“Presiden kami menemui wakil dari DAP, PKR, dan PAS untuk membincangkan ini.”

 

Tambahnya, antara tugasan terbesar mereka adalah memastikan PR didaftarkan sebagai pakatan supaya membolehkan ia mempunyai logo sendiri, jawatankuasa organisasi, dan menerima respon yang baik daripada PKR dan DAP.

 

“Respon parti-parti baik, tiada masalah dengan PKR dan DAP…PasMa bagaimanapun melihat PAS ada sesuatu yang ditakuti,” katanya.

 

Dalam konvensyen tersebut, Mohamad menganggarkan kira-kira 200 orang akan menghadirkan diri dengan kehadiran wakil DAP, PKR, dan PAS.

 

“Panel kita adalah Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib, dan Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran,” katanya.

 

“Ketika forum itu, kami mahu mendapatkan maklum balas orang ramai dan Pakatan terhadap PasMas,” katanya, dan menambah, mahu menjadikan pertubuhan itu gerakan pro Pakatan.

 

Dengan tema ‘mengukuhkan Pakatan Rakyat’, konvensyen itu adalah sebahagian daripada konvensyen sebelum PasMa menganjurkan konvensyen mereka penghujung Mei depan. – The Malaysian Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.