Isu Salib: Status Gereja Di Taman Medan Disiasat

SHAH ALAM – Kerajaan negeri masih menyiasat status gereja yang beroperasi di kawasan rumah kedai di Taman Medan, Petaling Jaya meliputi semua perkara termasuk sama ada ia berdaftar secara sah atau sebaliknya.

 

Exco Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sehingga kini kerajaan negeri belum menerima laporan lengkap berhubung perkara itu.

 

“Kita juga tidak pasti sama ada ia beroperasi secara kekal atau sementara, termasuk ia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau sebaliknya.

 

“Perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MKKN) minggu depan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

 

Ketika mengulas berhubung tindakan penduduk Islam meminta pihak gereja menurunkan lambang salib, beliau berkata, itu hak penduduk untuk nyatakan pendirian.

 

“Namun begitu, cara mereka harus betul agar pihak agama lain tidak memandang negatif pada kesucian Islam yang mengutamakan sikap toleransi dan kasih sayang.

 

“Sebagai orang Islam, mereka kena jaga kemaslahatan orang Islam dan tidak sesekali terpengaruh dengan tindakan yang bertentangan,” katanya.

 

Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika diaju tindakan kerajaan negeri dan mengakui isu itu terlalu sensitif.

 

Ahad lalu, kira-kira 100 penduduk berkumpul di luar gereja baru yang terletak di lot rumah kedai, di Taman Medan bagi menuntut salib yang dipasang di rumah ibadat itu diturunkan kerana didakwa mengancam akidah penganut Islam yang majoritinya tinggal di kawasan itu.

 

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan belum menerima sebarang permohonan daripada pihak gereja bagi menjadikan bangunan yang berstatus lot perniagaan itu kepada rumah ibadat.

 

Pegawai Perhubungan Awamnya, Zainun Zakaria berkata, pihak gereja sepatutnya mengikut garis panduan yang ditetapkan, sebelum menaikkan simbol salib.

 

“Bagaimanapun, kelulusan untuk menukar status lot perniagaan itu kepada rumah ibadah juga bukan mudah kerana ia perlu bergantung kepada kelulusan kerajaan negeri.

 

“Pihak gereja bukan saja perlu mohon kepada kami, tetapi juga kepada kerajaan negeri melalui unit lain-lain agama jika mahu menukar status bangunan lot perniagaan kepada rumah ibadat.  Perlu ikut prosedur,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.