Haram Hina Agama Lain – Fathul Bari

Kuala Lumpur – Umat Islam dinasihatkan supaya tidak menghina agama lain kerana ia diharamkan dalam Islam, kata Dr Fathul Bari Mat Jaya, merujuk kepada insiden protes penduduk setempat terhadap gereja di Taman Medan, Petaling Jaya, Ahad lalu.

 

Exco Pemuda Umno itu berkata Islam sendiri melarang umatnya menghina agama lain dan berharap masalah itu diselesaikan secara baik antara penduduk Kampung Medan dan pihak gereja.

 

Katanya, di Taman Medan juga wujud tokong Hindu namun tidak pula menerima sebarang gangguan atau bantahan.

 

“Jangan kamu hina agama yang mereka sembah selain Allah. Kalau kamu hina maka orang lain akan menghina Allah,” katanya kepada The Malaysian Insider memetik ayat Al-Quran.

 

Beliau berkata, pada masa sama tidak perlu ada campur tangan politik sehingga boleh melaga-lagakan dan menimbulkan lagi ketegangan antara agama.

 

Pemimpin sekretariat Ulama Umno itu berkata isu sensitif seperti itu tidak sewajarnya dijadikan kepentingan politik memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan Rompin serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak semakin hampir di mana majoriti pengundi adalah penganut Kristian.

 

Beliau turut menasihatkan masyarakat luar memberi ruang kepada kedua-dua pihak menyelesaikan isu di kawasan mereka sendiri tanpa terpengaruh dengan cubaan pihak lain yang sengaja mahu mengeruhkan lagi konflik antara Islam dan bukan Islam.

 

“Hanya mereka saja yang mampu menyelesaikan isu ini. Hormati penduduk dan pendirian mereka,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Kluster Perpaduan Nasional Majlis Profesor Negara Prof Dr Mansor Mohd Noor menolak insiden salib itu hanya isu agama semata-mata, tetapi ada unsur lain yang menyebabkan ketegangan terjadi.

 

“Mungkin ada isu pembangunan yang tidak kesampaian di sebaliknya, contohnya pengangguran, tekanan kos hidup yang meningkat kerana tidak mampu menguruskan kenaikan harga barang dan sebagainya.

 

“Bila isu begini timbul ia bukan isu bersifat agama sebaliknya isu kehidupan,” katanya.

 

Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, masalah ini perlu diselesaikan dengan meningkatkan ilmu kemahiran dan kefahaman agama bagi mengelakkan isu agama dan etnik sering dipolitikkan.

 

Katanya, Malaysia sebagai negara maju terdapat banyak lagi tempat ibadat termasuk gereja dan masjid dibina bersebelahan tetapi tidak berlaku kekecohan.

 

“Elok dikaji benda sebenar. Ia dipolitikkan demi persaingan untuk mendapatkan akses kepada material dan kedudukan.

 

“Salib tidak boleh mempengaruhi hidup kita. Cuba kita tanya kembali adakah kegiatan fardu ain dan kelas agama berjalan?” katanya sekali gus menepis alasan penduduk tanda salib itu mampu memesongkan akidah generasi muda.

 

Pengasas kumpulan Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa berkata tindakan provokasi itu tidak sepatutnya dijadikan alasan polis dan Putrajaya mengekalkan penguatkuasaan Akta Hasutan.

 

Sebaliknya, kes itu boleh disiasat mengikut Kanun Keseksaan di bawah ugutan jenayah, dan mendakwa menteri yang kononnya mengatakan ini sesuatu yang boleh didakwa mengikut Akta Hasutan ingin menunjukkan di sebalik kenyataan tersebut, mereka mahu akta zalim itu dikekalkan.

 

“Sekiranya didapati ada kesalahan maka dakwalah mereka di bawah Kanun Keseksaan, tidak perlu Akta Hasutan.

 

“Tetapi saya tidak rasa mereka akan dikenakan sebarang tindakan,” katanya yang juga aktivis menentang pemansuhan Akta Hasutan.

 

Beliau turut mempersoalkan kewujudan Akta Harmoni yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika melaungkan slogan 1Malaysia.

 

Katanya, Malaysia juga tidak menunjukkan kesungguhan menentang diskriminasi dan perkauman apabila masih tidak mengiktiraf Penghapusan Diskriminasi Kaum (CERD) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun konvensyen itu wujud sejak 1969.

 

Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan sedangkan Malaysia terpilih menganggotai kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

 

“Kemungkinan ada pihak yang merasakan ada kepentingan wujudnya ketegangan dalam hubungan antara kaum untuk kepentingan politik mereka,” katanya. – The Malaysian Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.