Geng Remaja Samun Di Kota Kinabalu Tumpas

Kota Kinabalu – Geng remaja yang giat menyamun kedai 24 jam di sekitar Kota Kinabalu berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya 15 suspek berusia dalam lingkungan 16 hingga 29 tahun.

 

Dalam kejadian rompakan di kedai 24 jam di Bandaran Berjaya Ahad lalu, seramai tujuh remaja berjaya ditangkap selepas kenderaan yang dipandu suspek berusia 17 tahun dan dikenal pasti sebagai dalang geng berkenaan hilang kawalan lalu terhumban ke dalam parit.

 

“Hasil daripada maklumat orang awam, kami terserempak dengan kereta mereka di Signal Hill dan berlakulah adegan kejar-mengejar selama 45 minit di sekeliling Kota Kinabalu.

 

“Seramai tujuh suspek, iaitu tiga lelaki dan empat perempuan dalam kereta tersebut berjaya ditangkap selepas kereta yang dinaiki mereka terhumban dan tersepit dalam longkang monsun,” ujar Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP M. Chandra.

 

Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan.

 

Menurut Chandra, seramai lapan orang lagi baki anggota geng tersebut dicekup hasil maklumat daripada suspek yang telah ditangkap.

 

“Pihak polis mendapati bahawa berlaku satu siri samun kedai 24 jam iaitu satu kes di Penampang dan tiga kes di Kota Kinabalu. Di Penampang berlaku pada 6 April manakala di Kota Kinabalu pada 18 dan 19 April.

 

“Modus operandi keempat-empat samun ini adalah sama, iaitu dua orang suspek akan masuk ke kedai 24 jam berpura-pura untuk membeli barang.

 

“Semasa hendak membayar, suspek akan keluarkan pisau ataupun parang untuk mengugut juruwang agar menyerahkan wang tunai,” katanya.

 

Pihak polis menyatakan siri rompakan tersebut hanya bersifat ‘suka-suka’ berikutan barang rompakan hanya melibatkan makanan dan minuman ringan serta sedikit wang tunai.

 

Sehubungan tangkapan tersebut, pihak polis telah merampas hasil samun geng itu yang mencecah RM60,000 termasuk dua buah kenderaan ibu bapa suspek.

 

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 atas kesalahan melakukan rompakan dan kesemua suspek telah direman selama empat hari untuk lanjutan soal siasat. – Astro Awani

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.