Dakwaan Habib Syech 
Sesat Tidak Benar – Syed Amru

PUTRAJAYA – Dakwaan me­ngatakan Kumpulan Habib Syech As-Seggaf menyeleweng dengan dikaitkan dengan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah seperti yang tersebar di media adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

 

Selaku antara individu memperkenalkan kumpulan qasidah itu di negara ini, Syed Amru Syed Abdullah menegaskan, Habib Syech As-Seggaf tidak mempunyai kaitan langsung dengan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah yang diharamkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

 

Ujarnya, program selawat dan qasidah pimpinan Habib Syech As-Seggaf bersandarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah serta tidak mempunyai unsur melampau se­perti dilakukan oleh Tariqat Naqsya­bandiah Al-Aliyyah.

 

“Majlis alunan selawat dan qasidah turut diselitkan dengan tazkirah ringkas yang mengajak orang ramai mengingati Allah dan mencintai Nabi Muhammad.

 

“Sekiranya menyeleweng, ma­na mungkin mengandungi pengisian berbentuk kebaikan dan sudah tentunya, pihak berkuasa agama telah mengharamkannya sejak dahulu lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

 

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin semalam bahawa tiada fakta sahih setakat ini yang boleh mensabitkan kumpulan Habib Syech As-Seggaf dengan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah.

 

Pada masa sa­ma, Syed Amru se­laku Pengerusi Masjid Alam Shah, Kuala Lumpur memberitahu, pihaknya lega de­ngan kenyataan muzakarah itu dan meminta orang ramai menghentikan toh­mahan negatif terhadap kumpulan Habib Syech As-Seggaf.

 

Katanya, meskipun dilempar­kan pelbagai tuduhan sejak ke­belaka­ngan ini, tidak mematah semangat beliau dan kumpulan Habib Syech As-Seggaf untuk meneruskan usaha dakwah dengan menganjurkan program selawat dan qasidah di seluruh tanah air.

 

Sementara itu, Kadi Daerah Maran Pahang, Syarifuddin Mohammad Sa’ad berkata, penganjuran program selawat oleh kumpulan Habib Syech As-Seggaf yang ter­kenal dengan qasidah ‘Ya Hanana’ telah memberi sumbangan besar kepada negara apabila acara itu mengajak anak-anak muda mendekatkan diri dengan agama.

 

Jelasnya, sam­butan Hari Kemer­dekaan dan Ta­hun Baharu di Dataran Merdeka sebelum ini dipenuhi acara-acara berbentuk hiburan telah ditukarkan dengan program selawat dan qasidah oleh kumpulan Habib Syech As-Seggaf pada tahun lalu.

 

“Sambil mendengar alunan se­lawat dan zikir, anak-anak muda diberi pengisian tazkirah ringkas yang diselitkan dalam program berkenaan,” katanya yang merupakan antara penggerak kumpulan Habib Syech di negara ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.