BN, PAS Berentap Dalam PRK Parlimen Rompin

ROMPIN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang dijadualkan berlangsung 5 Mei nanti akan menyaksikan BN berentap dengan PAS dalam pertembungan dua penjuru yang dijangkakan sengit.

 

BN mempertaruhkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hasan Arifin untuk mempertahankan Parlimen tersebut, manakala lawannya ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Nazri Ahmad.

 

Proses penamaan calon berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dan pengumuman rasmi calon yang layak bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Fadzilla Salleh pada jam 10 pagi.

 

Nazri Ahmad tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 8.45 pagi disertai pemimpin PAS Pusat antaranya termasuklah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

 

Calon BN, Datuk Arifin tiba kira-kira 15 minit selepas itu diiringi Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Umno, Datuk Hishammuddin Hussein serta beberapa pemimpin parti komponen.

 

Bekas ahli PKR, Mohd Shukri Mohd Ramli yang sebelum ini berura-ura menjadi calon Bebas tidak dapat meneruskan hasratnya apabila hadir di pusat penamaan calon tanpa membawa pencadang dan penyokong.

 

Pada PRU-13 yang lepas Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin yang mewakili BN mempertahankan kemenangan di Parlimen Rompin dengan majoriti 15,114 undi setelah mengalahkan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.