Beri Peluang Kepada BN Di Permatang Pauh

Georgetown – Rakyat perlu memberi peluang kepada Barisan Nasional untuk memperjuangkan nasib mereka yang telah 17 tahun terabai sepanjang kawasan itu diwakili calon PKR, kata Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Norliza Abdul Rahim.

 

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu kawasan parlimen Permatang Pauh seolah-olah sepi daripada pembangunan.

 

“Sekiranya rakyat memberi mandat kepada BN pada pilihan raya kecil kali ini, BN akan memberi tumpuan penuh kepada masalah kebajikan dan pembangunan di kawasan Permatang Pauh.

 

“Jentera Wanita Umno sudah mula turun padang bertemu pengundi dari rumah ke rumah sejak beberapa minggu lalu. Mesej yang kami sampaikan ialah transformasi di Permatang Pauh,” katanya ketika dihubungi.

 

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,820 pengundi berdaftar dengan 51 peratus daripada jumlah itu adalah pengundi wanita.

 

Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan setelah penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

 

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Mei sebagai hari pengundian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.