10 Maut Kerana Seekor Babi

Sydney – Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dengan beberapa lagi cedera, gara-gara pergaduhan antara dua puak  disebabkan kehilangan seekor babi di Papua New Guinea.

 

Pergaduhan antara puak Wapiago dan Tapamu itu berlaku di kawasan tanah tinggi Wilayah Hela.

 

Komander Polis Wilayah Enga, Mark Yangen memberitahu Radio Australia, mangsa korban termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan seorang wanita berusia 60 tahun.

 

“Pergaduhan itu berpunca daripada kecurian seekor babi. Suspek (yang didakwa mencuri babi itu) telah ditahan.

 

“Pemilik babi itu kemudiannya datang bersama selaras senapang dan menembak dua lelaki yang merupakan saudara kepada pencuri babi itu.

 

“Dari situ pergaduhan bermula dan empat lelaki maut di tempat kejadian…dua lagi daripada puak lain turut maut,” katanya sambil menambah, pergaduhan telah reda, namun keadaan masih tegang dan keganasan boleh tercetus semula.

 

Dia bagaimanapun tidak memberitahu bila pergaduhan itu berlaku.

 

Pencuri babi itu telah menyerah diri dan polis meminta pemilik babi itu turut berbuat demikian menjelang Khamis ini.

 

Sementara itu, Asisten Komisioner Polis, Teddy Tei memberitahu akhbar Post-Courier, pemilik ternakan itu yang juga seorang ahli majlis tempatan bersama beberapa individu lain didakwa memulakan pergaduhan itu.

 

Sehubungan itu, Tei menggesa mereka yang terbabit dalam pergaduhan itu supaya tampil membantu siasatan polis.

 

“Jika mereka gagal menyerah diri, saya akan memburu mereka,” katanya.

 

Dalam pada itu, Timbalan Pentadbir Wilayah Hela, Kope Waiko merayu kedua-dua puak supaya berhenti bergaduh.

 

“Kita semua berkelakuan seperti babi, jika kita membunuh satu sama lain demi babi.

 

“Kita tidak boleh benarkan 10 lagi nyawa melayang, hanya kerana seekor babi yang dicuri dan kamu perlu patuhi arahan polis dan henti bergaduh,” katanya.

 

Susulan tragedi itu, sekolah terpaksa ditutup, manakala wanita dan kanak-kanak bertindak melarikan diri ke sebuah daerah berhampiran, kerana bimbang keselamatan mereka terancam.

 

Babi adalah ternakan paling penting di negara Pasifik itu, bukan sahaja sebagai sumber pendapatan, tetapi ia juga adalah lambang kekayaan dan kuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.