Anwar terus terang tidak menentang Hudud selepas Karpal tiada

21 APR: Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya tampil menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak menentang pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan walaupun ia mendapat tentangan hebat daripada DAP.

Anwar berkata, sebagai seorang Muslim, beliau tidak menentang Undang-undang Hudud.

“Sebagai orang Islam, kita tidak harus menolaknya dan kita terikat kepada undang-undang Al-Quran,” kata Anwar pada perhimpunan Reformasi 2.0 di Pantai Dalam di ibu negara pada Ahad malam.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan adalah penting untuk memastikan bahawa jabatan agama dan penguatkuasaan mampu menegakkan keadilan sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Jika ini sudahh diperbaiki, maka saya tidak ragu-ragu mengenainya (pelaksanaan Hudud),” katanya.

Anwar berkata, beliau telah menjemput Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob untuk bertemu semua pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan membincangkan bagaimana kerajaan negeri PAS Kelantan merancang untuk melaksanakan undang-undang Hudud di negeri itu sebelum Rang Undang-undang persendirian (private bil) berhubung perkara itu dibentangkan di Parlimen.

Ini kali pertama Anwar membuat kenyataan terbuka beliau tidak menentang Hudud sejak kerajaan PAS Kelantan menyatakan hasrat membentangkan usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Disember ini bagi mendapat kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, termasuk Hudud.

Dalam satu sidang media di Ibu pejabat PKR 16 April lalu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, PAS bebas untuk berbuat apa sahaja dalam usaha mereka melaksanakan Hudud.

Bagaimanapun, PKR dan DAP tidak terikat untuk menyokong rang undang-undang persendirian yang sekutu mereka dalam PR itu mahu bentang di Parlimen, kata Anwar seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times.

Untuk rekod, pada 28 September 2011, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang turut dihadiri oleh Anwar, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan penasihat DAP, Lim Kit Siang bersetuju untuk melaksanakan dasar seperti yang terkandung dalam Dasar Bersama dan Buku Jingga, tanpa pelaksanaan negara Islam dan Hudud.

Sementara itu beberapa pemimpin DAP pada Sabtu turut mula ‘berlembut‘ dengan memberi kenyataan positif terhadap cadangan pelaksanaan hukum Hudud di Kelantan apabila menyatakan kesediaan membincangkan isu itu sebelum PAS membentangkannya di Parlimen.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, parti itu menghormati pandangan PAS yang bertegas untuk melaksanakan hukum Islam tersebut.

Bagaimanapun, katanya, agenda pelaksanaan hukum tersebut perlu melalui perbincangan di peringkat Majlis Presiden PR terlebih dahulu.

“Semua parti walaupun ada pandangan masing-masing, mesti menghormati dan mematuhi keputusan Majlis Presiden PR dan saya rasa isu ini boleh diketengahkan ke majlis presiden dan boleh dibincangkan dan saya rasa ia dapat diselesaikan secara matang dan membawa manfaat kepada semua pihak.

“Isu ini, pada ketika ini pada hemat saya seharusnya perlu diperhalusi dan dibincangkan lagi supaya ia tidak menimbulkan sebarang kemelut,” katanya kepada Antarapos.

DAP sebelum ini paling lantang membantah pelaksanaan hudud ketika hayat bekas pengerusi parti itu, mendiang Karpal Singh.

“Walaupun DAP hormat dan faham hasrat tersebut sebab hukum Hudud adalah sebahagian daripada agama Islam, jadi perjuangan untuk kedepankan hukum Hudud memang sebahagian kepercayaan Islam.

“Bagaimanapun buat sementara waktu ketika ini, saya cadangkan PR harus fokus tenaga dan masa kepada pelaksanaan dasar yang dipersetujui dan termaktub dalam Buku Jingga,” katanya sambil menambah masih terdapat banyak perkara dalam buku berkenaan yang belum dilaksanakan.

Pandangan yang sama turut disuarakan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw.

“Walau kita ada perbezaan dari segi fahaman dan amalan, agama Islam ada nilai murni, kita hormati, begitu juga Budhha, Hindu dan Kristian.

“Saya nak faham apa yang akan terjadi, maksudnya dan intipatinya yang akan dikemukakan, saya nak faham juga.

“Sebagai seorang yang mementingkan wasatiyah, kita mesti dengar pandangan orang dulu sebelum buat ulasan,” katanya kepada Antarapos.

Sebelum ini, pimpinan PKR juga melalui Timbalan Presidennya Azmin Ali menyatakan Hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan sebarang cubaan untuk membentangkan usul rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat akan ditentang.-bnbbc.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.