SENAI- Pelancaran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Bandar Senai, Johor, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasakan komuniti setempat melalui Program Perkhidmatan Pintar NADI yang berpandukan kepada lima (5) teras utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.
Penubuhan NADI Bandar Senai ini adalah sejajar dengan hala tuju NADI bagi memberi nilai tambah kepada kesejahteraan masyarakat selain merapatkan jurang digital antara penduduk kawasan bandar dengan luar bandar.
Menerusi NADI ini, ia membuka peluang kepada komuniti setempat dan juga komuniti di kawasan-kawasan perumahan sekitar Bandar Senai untuk menguasai teknologi komunikasi terkini, meningkatkan kemahiran diri, dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Inisiatif ini juga dijangka mewujudkan ekosistem yang lebih dinamik dan berdaya saing. Pembukaan NADI Bandar Senai merupakan sebahagian daripada inisiatif 1 DUN 1 NADI yang telah mula beroperasi pada 29 Disember 2024 yang lalu. Di daerah Kulai, sejumlah lima NADI yang telah beroperasi iaitu NADI Bandar Senai, NADI FELDA Bukit Permai, NADI FELDA Bukit Batu, NADI FELDA Inas Utara, dan NADI FELDA Taib Andak. Secara keseluruhannya, terdapat 101 NADI yang telah dibangunkan di Johor, dengan 11 merupakan NADI baharu.
Sejak penubuhannya, NADI ini telah melaksanakan pelbagai program bagi memperkasakan komuniti. Antaranya, program literasi digital di sekolah-sekolah sekitar bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai keselamatan dalam talian serta penggunaan Internet secara bertanggungjawab. Selain itu, turut dianjurkan ialah kelas keusahawanan, e-kelas, pemeriksaan kesihatan, webinar kesihatan dan kesedaran keselamatan dalam talian.
Sebagai sebahagian daripada program ini, Bazar Raya NADI turut diadakan sebagai salah satu langkah untuk menarik minat komuniti setempat dalam bidang keusahawanan.
Program ini diadakan secara serentak di 1,077 pusat NADI di seluruh negara yang disertai seramai lebih 5,000 orang usahawan untuk
memberi peluang kepada mereka mempamerkan dan memasarkan produk keperluan sambutan Hari Raya Aidilfitri termasuk makanan, pakaian dan kraftangan selain memperkenalkan Program Keusahawanan Perkhidmatan Pintar NADI. Selain itu, beberapa aktiviti turut disediakan bagi menarik perhatian pengunjung dan menarik minat menjadi usahawan NADI di bawah Program Keusahawanan NADI.
Antaranya ialah sesi webinar dan perkongsian keusahawanan bersama pakar industri, taklimat keselamatan dalam talian serta sesi pendaftaran menjadi ahli baharu NADI.