Legenda Tinju George Foreman Meninggal Dunia pada Usia 76 Tahun

- Advertisement -

LOS ANGELES – Bekas juara heavyweight dunia, George Foreman, yang pernah tewas kepada Muhammad Ali dalam perlawanan ikonik “Rumble in the Jungle” pada 1974 sebelum kembali merangkul kejuaraan dua dekad kemudian, meninggal dunia pada Jumaat (21 Mac 2025) pada usia 76 tahun.

Keluarga Foreman mengumumkan pemergiannya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram rasmi legenda tinju tersebut.

“Dengan penuh kesedihan, kami mengumumkan pemergian George Edward Foreman Sr, yang telah meninggalkan kami dengan tenang pada 21 Mac 2025, dikelilingi oleh ahli keluarga tersayang,” kata kenyataan itu.

“Kami berterima kasih atas segala doa dan sokongan yang diberikan, dan dengan rendah hati meminta ruang privasi bagi menghormati kehidupan luar biasa insan yang amat kami cintai.”

Perjalanan Hidup Seorang Legenda

Dilahirkan di Texas pada 10 Januari 1949, Foreman dibesarkan di Houston dalam keadaan keluarga yang tidak stabil. Bapa yang membesarkannya sering tiada dan ketagihan alkohol. Foreman hanya mengetahui bahawa J.D. Foreman bukan bapa kandungnya selepas memenangi kejuaraan heavyweight dunia, apabila bapa kandungnya yang merupakan veteran Perang Dunia Kedua menghubunginya.

Sebagai remaja, Foreman terjebak dalam jenayah dan berhenti sekolah pada usia 16 tahun.

“Pada usia 13 tahun, George sudah setinggi 6 kaki 2 inci dan seberat 200 paun. Dia adalah ‘pengganas’ di kawasan kejiranan,” kata adiknya, Roy, dalam wawancara bersama BBC pada 2024.

Namun, pada usia 16 tahun, Foreman mula menceburi dunia tinju.

“Saya sebenarnya mahu menjadi pemain bola sepak,” katanya dalam laman web rasminya.

“Saya cuba tinju hanya untuk membuktikan kepada rakan-rakan bahawa saya tidak takut. Tetapi, selepas 25 perlawanan dalam tempoh setahun, saya menjadi pemenang pingat emas Olimpik.”

Pada Sukan Olimpik 1968 di Mexico, Foreman memenangi pingat emas dalam kategori super heavyweight ketika berusia 19 tahun.

Ketika itu, dunia sukan masih dalam kehangatan protes hak asasi apabila Tommie Smith dan John Carlos mengangkat tangan dalam simbol Black Power selepas perlumbaan 200m. Foreman, bagaimanapun, memilih untuk mengibarkan bendera Amerika Syarikat di dalam gelanggang sebagai tanda penghormatan kepada negaranya.

Dari Kekalahan kepada Kebangkitan Epik

Berdiri setinggi 6 kaki 4 inci (1.93m), Foreman adalah antara petinju paling dominan pada zamannya. Dengan gaya bertinju agresif, beliau menewaskan juara heavyweight ketika itu, Joe Frazier, dalam hanya dua pusingan untuk merangkul kejuaraan dunia.

Pada Oktober 1974, beliau mempertahankan kejuaraan dalam perlawanan bersejarah “Rumble in the Jungle” di Kinshasa, Zaire (kini Republik Demokratik Congo) menentang Muhammad Ali. Foreman masuk gelanggang sebagai petinju yang tidak pernah kalah dalam 40 perlawanan profesionalnya, tetapi strategi ‘rope-a-dope’ Ali berjaya melemahkannya sebelum beliau ditewaskan dalam pusingan kelapan.

“Saya tidak percaya saya kehilangan gelaran dunia,” katanya kemudian.

“Ia adalah saat paling memalukan dalam hidup saya. Dari kebanggaan menjadi rasa simpati terhadap diri sendiri. Itu benar-benar menghancurkan.”

Foreman terus berusaha untuk mendapatkan semula kejuaraan tetapi kalah dalam pertarungan menentang Jimmy Young pada 1977. Selepas perlawanan itu, beliau jatuh sakit dan mendakwa menerima petunjuk dari Tuhan agar mengubah kehidupannya.

Beliau kemudian bersara pada usia 28 tahun dan menjadi seorang pendakwah.

Kembali sebagai Juara Dunia pada Usia 45 Tahun

Pada 1987, Foreman mengejutkan dunia apabila mengumumkan kemunculannya semula dalam arena tinju, 10 tahun selepas bersara. Kali ini, beliau tampil dengan penampilan yang berbeza—botak dan bertubuh lebih besar, jauh berbeza daripada fizikal tegapnya dahulu.

Ramai menyangka ia sekadar gimik, tetapi Foreman berkata beliau kembali bertinju kerana ingin mengumpul dana untuk pusat belia yang diasaskannya.

Dalam tempoh tiga tahun, beliau memenangi 21 perlawanan berturut-turut, kebanyakannya menentang lawan yang kurang berpengalaman.

Pada 1991, beliau mendapat peluang menentang juara dunia Evander Holyfield tetapi tewas menerusi keputusan mata. Begitu juga dalam perlawanan menentang Tommy Morrison pada 1993.

Namun, pada November 1994, Foreman mencipta sejarah apabila menewaskan juara bertahan Michael Moorer dalam pusingan ke-10. Dengan memakai seluar pendek yang sama seperti yang dipakai semasa menentang Ali 20 tahun sebelumnya, beliau menumbangkan Moorer dengan satu pukulan kuat ke dagu.

Pada usia 45 tahun dan 299 hari, beliau menjadi juara heavyweight dunia tertua dalam sejarah.

Walaupun gelaran WBA dan IBF dirampas kerana enggan bertarung dengan lawan yang ditetapkan, beliau tetap beraksi dan hanya bersara sepenuhnya pada 1997 selepas tewas kepada Shannon Briggs menerusi keputusan mata.

Sepanjang kerjayanya, Foreman bertarung dalam 81 perlawanan profesional, memenangi 76 daripadanya, termasuk 68 dengan kemenangan KO.

Legenda di Luar Gelanggang

Di luar dunia tinju, Foreman dikenali sebagai usahawan berjaya. Pada 1994, beliau memperkenalkan produk “George Foreman Lean Mean Fat-Reducing Grilling Machine,” yang menjadi fenomena global.

Beliau juga pernah mengendalikan rancangan TV “Bad Dads” pada 1996 dan berkahwin empat kali, mempunyai 10 anak kandung dan dua anak angkat.

Yang menarik, semua lima anak lelakinya dinamakan George Edward Foreman, kerana beliau percaya, “Jika salah seorang daripada kami berjaya, kami semua akan berjaya. Jika seorang jatuh, kami semua akan jatuh bersama.”

Pemergian George Foreman bukan sahaja mengakhiri sebuah era dalam sukan tinju tetapi juga meninggalkan legasi luar biasa sebagai ikon sukan dan usahawan berjaya.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat