Tahanan Lari Dari Polis Ditemui Sembunyi Dalam Sungai Di Ipoh

IPOH – Seorang tahanan lelaki yang melarikan diri ketika dibawa menaiki trak polis di perkarangan Mahkamah Sesyen di sini petang semalam, berjaya ditahan semula kira-kira dua jam selepas kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata lelaki berumur 26 tahun itu ditemui dalam Sungai Silibin di sini kira-kira pukul 6.45 petang selepas pihaknya melancarkan ‘Op Tutup’.

Menurut Sum, lelaki itu bersama 22 tahanan lain sedang dibawa menaiki trak polis untuk dihantar ke Penjara Taiping, apabila meloloskan diri daripada jagaan polis dengan melucutkan gari pada tangannya.

“Dia kemudian dilaporkan melompat pagar setinggi dua meter dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran Stesen Keretapi Ipoh, kira-kira 10 meter dari perkarangan mahkamah,” katanya.

Sum bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh antara DSP Rodney Pasla Haris dan DSP Rasdi Ariffin.

Sum berkata lelaki itu menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 25 (1)(e) Akta Pendaftaran Negara 2001.

Katanya suspek kini menghadapi pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan.

“Kita juga akan menyiasat bagaimana dia boleh meloloskan diri dan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang bertugas ketika itu jika didapati berlaku kecuaian,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.