Salon Tidak Dibenar Sedia Suntikan Botox

KUALA LUMPUR  – Amaran kepada pusat atau salon kecantikan supaya tidak menyediakan perkhidmatan suntikan Botox kerana produk itu di luar bidang kawalan mereka, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata, prosedur kecantikan itu telah diklasifikasikan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan sebagai sejenis ubat dan penggunaannya perlu dikendalikan pengamal perubatan berdaftar yang terlatih.

“Premis suntikan Botox itu melanggar peraturan yang ditetapkan kerana apa-apa jenis rawatan dari segi perubatan cuma boleh disediakan di pusat-pusat yang telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Khoo Soo Seang (BN-Tebrau) yang bertanya mengenai langkah pencegahan yang berkesan bagi mengelakkan klinik kecantikan yang berdaftar menawarkan perkhidmatan seumpama itu.

Jelasnya, dari sudut perundangan, pusat kecantikan atau salon hanya boleh menjalankan rawatan kecantikan untuk di bahagian luar kulit atau luaran badan, sebaliknya Botox adalah sejenis produk yang perlu disuntik ke dalam kulit.

Dr Subramaniam berkata kementeriannya melalui Bahagian Perubatan dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan menjalankan pemantauan ke atas pusat-pusat berkenaan dan sebarang pelanggaran peraturan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya manakala kesalahan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.