Polis Tahan 234 Rakyat Malaysia Disyaki Terlibat Militan IS

KUALA LUMPUR – Seramai 234 rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam gerakan kumpulan militan Daesh (militan IS) telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), setakat 22 Feb lepas.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata selain itu PDRM juga telah mengenal pasti 95 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas tersebut di Syria.

“Daripada jumlah itu, 30 daripadanya telah meninggal dunia manakala lapan lagi ditangkap sebaik kembali ke Malaysia,” kata KDN dalam jawapan bertulis kepada Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ikmal Hisham ingin tahu jumlah rakyat Malaysia yang terbabit dengan gerakan kumpulan militan Daesh.

KDN menjelaskan kerajaan meningkatkan kawalan di semua pintu masuk utama dan sempadan negara termasuk udara, darat dan laut dengan adanya penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 serta Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Mengulas lanjut, KDN memberitahu kerjasama antara PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut dipertingkatkan bagi memantau media sosial.

“Ini bertujuan menyekat perkembangan pengaruh Daesh. PDRM juga berusaha gigih bagi menyekat pengaruh dan ideologi Daesh daripada terus meresap ke dalam pemikiran rakyat Malaysia dengan melaksanakan operasi dan tangkapan dari semasa ke semasa,” kata kementerian itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.