Video: ‘Saya Tak Lihat Jam Dia’ – KJ

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kes rasuah yang berlaku di kementeriannya.

 

Beliau akan membuka ruang seluasnya untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pegawai berkenaan dan mana-mana pegawai yang dipercayai terlibat dalam skandal RM100 juta itu.

 

 

“Saya bertanggungjawab untuk jawab apa yang berlaku sekarang. Saya tidak boleh melihat apa yang dilakukan oleh jawatankuasa bertindak dan dalam kes ini, saya tidak boleh terlibat dalam ‘task force’ itu.

 

“Saya ada tanggungjawab untuk pastikan segala proses ini diperbaiki dan diperbetulkan kerana ini berlaku di peringkat pentadbiran penjawat awam. Kita juga mengambil tindakan proaktif untuk memperbetulkan keadaan,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Ketua Pemuda UMNO itu mengakui mengenali pegawai berkenaan namun tidak menyedari bahawa pegawai itu mempunyai kehidupan yang di luar kemampuan.

 

“Mestilah saya kenal dan prestasi beliau di pejabat; saya lihat dia menjalankan tugas. Secara peribadi saya tidak tahu mengenai gaya hidupnya kerana di pejabat dia nampak biasa sahaja dan di pejabat saya tidak perasan,” kata beliau lagi.

 

Khairy juga menolak dakwaan isu ini bertujuan untuk memburukkan imejnya sebagai ahli politik. “Rasuah adalah rasuah. Saya tidak boleh kata ini adalah konspirasi untuk menjatuhkan saya. Saya tidak akan berselindung di sebalik alasan konspirasi politik. Saya akan berlaku jujur mengenai perkara ini,” ujarnya.

 

Sementara itu, Khairy turut menegaskan bahawa mana-mana pihak atau individu yang didapati terlibat dalam rasuah haruslah diambil tindakan tanpa mengira pangkat atau jawatan, termasuklah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

 

“Mesti siasatan penuh dibuat, tidak kira siapa, ketua menteri mana ke, ahli politik mana ke, sesiapa sahaja. Yang penting rakyat melihat siasatan yang lengkap,” ujarnya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.