Umat Islam Perlu Bersatu Gagalkan Agenda DAP – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam supaya bersatu menentang agenda politik yang diperjuangkan DAP dan menggagalkan usaha parti itu yang berhasrat untuk memerintah negara ini.

 

Beliau berkata, DAP tidak berhak untuk memerintah negara ini memandangkan kaum Cina hanya mewakili 30 peratus sedangkan jumlah umat Islam adalah 60 peratus.

 

“DAP mempunyai cita-cita lebih besar daripada sekadar menguasai ekonomi, oleh itu hanya melalui penyatuan umat Islam sahaja mampu memastikan negara ini terus diperintah oleh orang Melayu.

 

“Selain itu, kita juga telah mengingatkan UMNO supaya kembali kepada Islam demi penya­tuan dan kekuatan ummah ke­rana memulihkan agenda politik merupakan satu sumbangan yang besar,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Pusat Tarbiyah dan Dakwah Pas Bandar Tun Razak di sini malam tadi.

 

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad.

 

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut mempersoalkan peranan PAN yang dipimpin Pre­sidennya, Mohamad Sabu dalam memperjuangkan agenda politik di negara ini bersama DAP dan PKR.

 

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, beliau bimbang berhubung situasi politik sekarang yang berpecah-belah dan menggugat kestabilan po­litik orang Melayu.

 

“Saya lihat DAP yang diwakili oleh kaum Cina telah berjaya walaupun mereka hanya terdiri daripada 30 peratus, lebih-lebih lagi mereka telah menguasai penda­patan per kapita yang lebih tinggi serta ada cita-cita lebih daripada itu.

 

“Kita akan tubuhkan unit tertentu seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau orang Islam yang bersekongkol dengan DAP tidak menang pada pilihan raya umum akan datang. Perjuang­an kita merupakan satu perjuangan yang berterusan,” ujarnya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.