Kalau Nak Menipu Biarlah Logik Sikit – KJ

Kuala Lumpur – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menafikan satu kenyataannya mengenai hudud yang dikeluarkan oleh portal BH Online bertajuk ‘Hudud Kelantan: Kalau Lulus Saya Tak Akan Masuk Kelantan’ pada Khamis lalu, yang tersebar di media sosial dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

 

Kata Khairy, kenyataan tersebut bukan daripadanya dan bukan berita yang diterbitkan oleh portal media itu.

 

“Biasanya saya tak perlu nafi fitnah seperti ini tetapi oleh kerana ramai yang tanya saya tentang ‘berita’ ini, maka saya dengan tegas ingin sahkan bahawa ia adalah satu fitnah.

 

“Ini bukan kenyataan saya dan ini juga bukan berita yang diterbitkan oleh Berita Harian. Ini kerja edit gambar,” katanya dalam laman Facebooknya hari ini.

 

Berita palsu berkenaan dihasilkan seolah-olah ia merupakan sebuah petikan laporan berita yang dikeluarkan di akhbar Berita Harian pada 19 Mac lalu.

 

Ia juga mengatakan bahawa Khairy yakin motif PAS dalam melaksanakan hudud di Kelantan adalah untuk memerangkap ramai pemimpin UMNO yang penuh skandal termasuk dirinya sendiri.

 

“Siapalah tak ada kerja lain sampai terlalu banyak masa lapang untuk Photoshop berita palsu di bawah ini.

 

“Kalau nak menipu pun biarlah logik sikit,” katanya.

 

kj facebook

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.