Dr Mahathir Tidak Percaya 1MDB Beri Manfaat Kepada Negara

Kuala Lumpur – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau tidak percaya syarikat pelaburan strategik kerajaan 1MDB memberi manfaat kepada negara dalam apa jua keadaan.

 

Dalam wawancara oleh Clare Rewcastle Brown, seorang wartawan penyiasatan United Kingdom (UK) yang merupakan pengasas dan pengarang portal berita Sarawak Report yang kritikal terhadap kerajaan Malaysia, bekas Perdana Menteri mendakwa kerajaan ‘memperjudikan wang dalam dana lindung nilai’.

 

Dalam wawancara pada 14 Mac lalu itu, Dr. Mahathir berkata beliau tidak berpuas hati dengan pengumuman terbaharu 1MDB bahawa dana AS$2.32 bilion yang diletakkan di Kepulauan Cayman telah ditebus sepenuhnya.

 

Beliau juga mempersoalkan dana berbilion ringgit yang dilaburkan dalam syarikat cari gali PetroSaudi International.

 

Dr. Mahathir juga menuntut supaya firma pelaburan strategik itu mendedahkan ‘di manakah’ dana itu berada.

 

“Penjelasan yang dibuat tidak memberi pencerahan tentang apa-apa. Saya ingin tahu di bank mana wang itu disimpan sekarang. Satu bilion dolar, anda mesti menyimpannya di suatu tempat,” katanya.

 

“Saya tidak tahu di mana wang itu – yang merupakan sebahagian daripada ketelusan,” beliau dipetik sebagai berkata.

 

Mengulas mengenai wang itu, katanya, “Saya tidak fikir ia memberikan apa-apa fungsi. Itulah perbezaan (pendapat) saya dengan kerajaan. Saya tidak fikir kita memerlukan dana seperti ini.”

 

“Kita sudah melakukan dengan cukup baik tanpa dana…pertamanya, mereka mendapat wang untuk dipinjamkan kepada orang Arab Saudi dan mereka memasukkannya ke dalam dana lindung nilai. Kerajaan tidak perlu memperjudikan wang dalam dana lindung nilai,” ujarnya, lapor Mingguan Malaysia.

 

Brown yang dilahirkan di Sarawak oleh pasangan British, terkenal dengan laporan yang mengkritik kerajaan negeri Sarawak sewaktu era bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud.

 

Dalam wawancara bersama Dr. Mahathir, Brown menekankan penolakan bekas Perdana Menteri itu terhadap syarikat pembangunan strategik 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan isu-isu berkaitannya.

 

Wawancara itu dibuat selepas kerajaan mengarahkan Ketua Audit Negara menjalankan audit bebas ke atas akaun 1MDB.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.