Bahaya Ubah Suai Kenderaan Tidak Ikut Spesifikasi

IPOH – Kekerapan berlakunya kebakaran melibatkan kenderaan sejak akhir-akhir ini membimbangkan banyak pihak khususnya pengguna jalan raya.

 

Pada 17 Mac lalu, tiga kenderaan terbakar di dua lokasi berasingan di Simpang Pulai dan Kuala Kangsar.

 

Kereta Perodua Alza dan Toyoto Grand Livina didapati rentung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, sementara sebuah kereta Audi A4 turut menerima nasib sama di kilometer 258.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan.

 

Terbaharu, 19 Mac lalu, sebuah lori musnah terbakar di Batu 10, Segari, Lumut.

 

Bagaimanapun, kesemua kejadian terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa.

 

Kajian perlu dibuat

 

Pengerusi Gabungan Kelab-kelab Kereta Negeri Perak, Mustafar Rahadi berkata, kejadian kebakaran kenderaan yang semakin kerap, membimbangkan biarpun tidak melibatkan kehilangan nyawa.

 

Menurutnya, punca utamanya belum dapat dipastikan, sama ada melibatkan masalah teknikal kenderaan itu sendiri atau terdapat unsur lain.

 

“Kita lihat kejadian ini serius dan perlu kajian mendalam dari pihak berkaitan sama ada agensi kerajaan, swasta atau NGO.

 

“Bukan mahu menuduh mana-mana pihak, sebaliknya ia lebih kepada memberi maklumat kepada pengguna bagi mengelak kejadian berulang,” katanya semalam.

 

Mustafar berkata, pihaknya melihat kemungkinan kenderaan terbakar disebabkan penggunaan alat ganti tiruan yang tidak menepati spesifikasi.

 

Beliau berkata, setakat ini, belum pernah berlaku kejadian seumpama itu melibatkan ahli-ahli gabungan memandangkan aspek keselamatan dan kondisi kenderaan sering diberikan keutamaan.

 

Katanya, aspek keselematan dalam perlumbaan digunapakai dalam setiap aktiviti kelab sama ada konvoi atau sebagainya yang berkaitan dengan kenderaan.

 

“Kebiasaannya seminggu sebelum konvoi kita minta peserta periksa keadaan kenderaan bagi memastikan tiada sebarang masalah. Dari situ kita akan kenal pasti punca masalah dan antara yang sering berlaku masalah disebabkan alat ganti tiruan.

 

“Seperti mana dalam perlumbaan juga, kita akan uji dahulu kereta untuk kenal pasti masalah dan kekurangan sebelum sertai perlumbaan untuk elak kejadian tak diingini,” katanya yang berpengalaman dalam perlumbaan litar dan rally pada 2005 hingga 2010.

 

Bagaimanapun katanya, punca sebenar berdasarkan kajian khusus perlu dibuat bagi membantu pemilik atau pengguna kenderaan waspada terhadap sebarang kemungkinan.

 

Katanya, kenderaan khususnya kereta terdapat pelbagai kategori dan mempunyai spesifikasi berbeza serta kesuaian terhadap bahan api dan sebagainya harus dilihat dengan teliti agar punca kejadian dapat dikenal pasti.

 

Pengubahsuaian haram

 

Berdasarkan maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, faktor pengubahsuaian kereta secara haram dan sistem pendawaian menjadi punca berlakunya kebakaran melibatkan kenderaan.

 

Pegawai Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Akmal Hisham Basor berkata, faktor-faktor lain seperti usia kenderaan sudah melebihi 10 tahun tanpa penyelenggaraan sempurna juga boleh menyebabkan kenderaan terbakar.

 

Menurutnya, tiada kajian komprehensif dilakukan oleh mana-mana pihak berhubung punca sebenar berlaku kebakaran dan letupan terhadap kenderaan.

 

“Pendawaian tidak mengikut spesifikasi asal yang dilakukan pada kenderaan menyebabkan tercetusnya insiden itu terutama pada kenderaan berusia lebih 10 tahun.

 

“Pendawaian ini sering berlaku apabila pemilik kenderaan bertindak mengubahsuai kenderaan dengan menambah aksesori dan sebagainya,” katanya.

 

Akmal Hisham berkata, sepanjang Januari tahun lalu, sebanyak 335 kes kebakaran kenderaan direkodkan dan daripada jumlah itu, Ipoh mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 50 kes.

 

“Trend ini dilihat makin meningkat apabila suku tahun pertama 2015, 88 kes kebakaran dicatatkan dengan Ipoh mendahului 10 kes,” katanya.

 

Justeru, beliau menyarankan kesemua pemilik kenderaan persendirian, awam mahupun lori komersial menyediakan alat pemadam api  dalam kenderaan masing-masing.

 

“Sekarang banyak kebakaran melibatkan kenderaan. Ada mangsa tersepit dan rentung namun, inisiatif menyediakan alat pemadam api dapat mengurangkan kebakaran itu.

 

“Langkah awal ini bukan sahaja dapat memadamkan sendiri api tetapi boleh membantu pada kenderaan lain yang mengalami musibah itu,” katanya.

 

Dilindungi insurans

 

Sementara itu mengenai tuntutan insurans jika berlaku kejadian berkenaan, Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh berkata, insurans kereta sememangnya melindungi kebakaran yang disebabkan kemalangan.

 

“Ini bererti kebakaran itu berlaku secara tidak sengaja atau tidak dirancang maka insurans akan dibayar kepada pemilik kenderaaan,”katanya.

 

Menurutnya, semua kemalangan yang tidak melibatkan kegiatan jenayah akan dibayar bagaimanapun sekiranya kereta didapati diubah suai tanpa mengikut syarat keselamatan ditetapkan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tuntutan tersebut boleh ditolak.

 

Terdapat beberapa insuran khusus melibatkan kebakaran kenderaan adalah insurans parti pertama (komprehensif) dan insurans parti ketiga kebakaran dan kecurian. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.