KUALA LUMPUR – Malaysia telah mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada tahun 2023 iaitu 23.0 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah ini adalah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara.
Menurut Menteri Kewangan itu, perkara ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil. 2/2024 pada hari ini.
“Landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi yang amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan
semula ekonomi negara sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Daripada jumlah pelaburan tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas Anwar lagi, prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.
“Secara tidak langsung, ini merupakan satu petanda bahawa dasar mesra pelaburan (pro-investment) dan mesra perniagaan (pro-business) yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh Kerajaan (whole-of-government) telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur.
“Jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara,” ujar beliau.
Tambah Anwar, sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi dengan menyumbang lebih daripada separuh (51.1 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion, diikuti oleh sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama (primary industries) sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus).
“Mesyuarat MPN Bil. 2/2024 juga telah membincangkan mengenai hala tuju pelaburan digital negara, selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang semakin pesat dan merupakan di antara sektor ekonomi yang penting dalam memperkukuhkan agenda pelaburan negara.
“Ekonomi digital di Malaysia yang telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada KDNK pada tahun 2021, diunjurkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang tahun 2025.
“Bagi tempoh 2021 – 2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion, yang merangkumi projek yang diluluskan melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (National Committee on Investments – NCI).
“Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 36,553 rakyat tempatan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, antara pelaburan digital yang diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar, dan kecerdasan buatan.
Kehadiran syarikat-syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital, kata Anwar.
Justeru, tegas beliau perlu memudahcara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara.