Hishammuddin Positif Covid-19

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein positif Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Menteri Kanan Pertahanan pada Selasa.

“Ingin dimaklumkan bahawa Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah disahkan positif Covid-19.

“Sebagai individu yang telah menerima dos penggalak, beliau akan menjalani tempoh isolasi mengikut ketetapan semasa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Beliau sememangnya menjalani ujian pengesanan Covid-19 jenis RT-PCR secara berkala selain turut kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri (self-test) melalui kaedah RTK Antigen. Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan jenis RT-PCR dan mendapat keputusan negatif Covid-19 ialah pada Jumaat, 18 Februari 2022,” kata kenyataan itu.

Selain itu diberitahu, Hishammuddin akan terus memantau dan menjalankan tugas-tugasnya yang sesuai dilaksanakan sepanjang tempoh isolasi.

“Marilah kita sama-sama mendoakan, semoga beliau dan setiap individu yang dijangkiti wabak Covid-19 ketika ini segera dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT seterusnya dapat kembali menjalani rutin harian seperti sediakala. InsyaAllah,” katanya.