Polis Tahan Pelakon Bersama Ganja 7.5 Gram

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon dan pelawak tempatan ditahan selepas polis menemui ganja seberat 7.5 gram dan alat menghisap ganja di kediamannya di Taman Melati, dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu, polis turut menemui alat mengisar daun ganja.

‎Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wangsa Maju.

“Lima anggota menyerbu sebuah rumah di Taman Melati susulan maklumat sebelum menemui seorang lelaki di kediaman berkenaan.

‎”Lelaki berkenaan kemudian mengambil sendiri sebuah beg kain berzip berwarna ungu dari bawah meja di ruang tamu rumah.

“Beg berkenaan mengandungi satu botol plastik lutsinar berisi ranting dan daun kering disyaki dadah jenis ganja dianggar seberat 7.5 gram,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

‎Mohamad Roy berkata, turut ditemui dalam beg berkenaan, alat mengisar ganja manakala sebuah botol plastik yang diubah suai dipercayai untuk menghisap ganja turut dirampas.

‎Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 26 tahun itu mendakwa mendapat bekalan dari seorang lelaki yang dikenali sebagai Sapek di Shah Alam, Selangor.

“Pelakon berasal dari Kuala Kangsar itu mengakui mengambil dadah sejak enam bulan lalu.

“Suspek sudah dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.