Mahkamah Batal Saman Puncak Niaga Terhadap Khalid Ibrahim dan Azmin Ali

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini membenarkan permohonan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan Selangor untuk membatalkan tuntutan saman Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) berjumlah RM14 bilion terhadap mereka berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati pernyataan tuntutan oleh Puncak Niaga cacat serta tidak teratur.

Mahkamah turut memutuskan Puncak Niaga untuk membayar kos sejumlah RM25,000 kepada setiap defendan iaitu Abdul Khalid, Mohamed Azmin dan Kerajaan Selangor.

Akhtar menetapkan 13 Mac ini untuk keputusan tuntutan balas yang dikemukakan Mohamed Azmin terhadap Puncak Niaga.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Puncak Niaga memfailkan saman terhadap ketiga-tiga defendan yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka.

Syarikat itu mendakwa Abdul Khalid dan Mohamed Azmin menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk menyebabkan atau memohon atau cubaan untuk menyebabkan Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.