Wanita Nekad Lahir Bayi Tepi Lif

 

 

PUTRAJAYA – Bimbang dengan keselamatan bayi dalam kandungan, seorang wanita memberanikan diri menyambut sendiri kelahiran anaknya di tepi lif pejabatnya di Subang, Selangor, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

 

Nurul Munirah Hussin, 32, ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian cemas itu berlaku, beliau sudah mula berasa sakit kontraksi dan perut mengeras beberapa kali seperti tanda awal untuk bersalin.

 

“Saya tidak sedap hati dan terus mengajak suami untuk ke hospital kira-kira jam 12 tengah malam.

 

Bagaimanapun, sebelum itu saya meminta suami untuk singgah di pejabat yang tidak jauh dari kediaman kami untuk mengambil buku rekod kehamilan yang tertinggal.

 

“Sebaik saja sampai di pejabat, saya mengambil buku rekod itu, namun tiba-tiba saya terasa ingin membuang air kecil.

 

“Bagaimanapun, ketika di dalam tandas, saya dapat merasakan sebahagian kepala anak dalam kandungan sudah keluar,” kata beliau yang sepatutnya bersalin pada 10 Mac ini.

 

Nurul Munirah yang juga seorang kerani di sebuah syarikat swasta, berkata ketika menuju ke lif, rasa sakit yang dialaminya semakin kuat dan beliau nekad untuk bersalin di situ kerana bimbang bayi dalam kandungannya lemas.

 

“Pada waktu itu, saya baring dan mula meneran seperti biasa dan hanya ditemani anak sulung berusia tujuh tahun, manakala suami dan anak lelaki berusia empat tahun memanggil anggota keselamatan di bangunan itu serta menghubungi ambulans.

 

“Waktu itu, anak perempuan saya hanya berdiri di sebelah sambil memerhatikan saya meneran sehingga bayi lelaki seberat 2.7 kilogram berjaya dikeluarkan,” katanya.

 

Wanita yang berasal dari Johor itu berkata, pengalaman bersalin sebanyak dua kali membuatkan dirinya berani untuk menyambut bayi itu sendiri tanpa bantuan orang lain.

 

“Sebaik saja bayi keluar, saya menanggalkan tudung dan membalutnya bagi mengelakkan sebarang jangkitan berlaku kerana permukaan lantai yang tidak bersih dan sejuk.

 

“Saya hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk melahirkan anak saya ini, sebelum pihak ambulans datang dan membawa kami ke Hospital Putrajaya.

 

“Alhamdulillah, semuanya sudah selamat walaupun anak saya terpaksa ditahan di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sehingga Jumaat ini untuk pemeriksaan lebih lanjut bagi memastikan tiada jangkitan,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.