Video : Kes Bunuh Jong Nam, Pegawai Kanan Kedutaan Suspek Terbaharu

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan, pihaknya telah mengenal pasti seorang pegawai kanan Kedutaan Korea Utara sebagai salah seorang suspek dalam pembunuhan Kim Jong Jam, manakala seorang lagi suspek dipercayai ada kaitan dengan syarikat penerbangan Korea Utara.

 

Beliau berkata, kedua-dua suspek masih berada di Malaysia dan sudah dipanggil untuk soal siasat.

 

 

Kakitangan kedutaan Korea Utara itu dikenali sebagai Hyom Kwang Song, 44, berkhidmat sebagai setiausaha kedua. Beliau tiba di Malaysia pada 20 September 2016.

 

Kakitangan syarikat penerbangan Korea Utara pula dikenali sebagai Kim Uk Il, 37, dan tiba di Malaysia sejak 29 Januari lalu.

 

“Kita sudah panggil 2 lagi rakyat Korea Utara untuk membantu siasatan. Mereka kakitangan kedutaan Korea Utara dan bekerja di syarikat penerbangan Korea Utara.

 

“Kita harap pihak kedutaan membantu kita untuk menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

 

Khalid bagaimanapun tidak menamakan 2 individu terbabit sebagai suspek keenam dan ketujuh dalam pembunuhan Jong Nam.

 

Polis juga sedang mencari seorang lagi warga Korea Utara yang dipercayai terlibat aktif dalam pembunuhan itu dikenali sebagai Ri Ji U, 30, atau dikenali sebagai James.

 

Pada Rabu, polis menahan seorang wanita pemegang pasport Vietnam dikenali sebagai Doan Thi Huong, selepas dia kembali ke tempat kejadian untuk menaiki pesawat pulang ke Vietnam.

 

Pada Khamis, polis menyerbu bilik di sebuah hotel di Ampang, Kuala Lumpur untuk menahan suspek wanita kedua. Suspek memegang pasport Indonesia dengan nama Siti Aisyah, dari Serang, Jakarta.

 

Kedua-dua suspek wanita itu dikenal pasti berdasarkan rakaman CCTV yang diambil dari terminal klia2 pada hari kejadian.

 

Polis kemudiannya menahan seorang lelaki Korea Utara berusia 46 tahun bernama Ri Jong Chol yang tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja di bidang IT.

 

Mereka sedang memburu 4 lagi lelaki Korea Utara yang memasuki Malaysia sejak 31 Januari hingga 7 Februari lalu dan semuanya dipercayai melarikan diri pada hari kejadian dan sudah tiba di Pyongyang dengan penerbangan melalui Indonesia, Dubai dan Vladivostok.

 

Seoul menggunakan perkembangan itu sebagai bukti mendakwa rejim Korea Utara dalang di sebalik serangan itu. Tetapi, Pyongyang menafikannya dan menuduh siasatan Malaysia bermotifkan politik.

 

Khalid berkata kedua-dua rakyat Korea Utara itu masih berada di dalam negara dan polis akan mencari mereka jika tidak hadir bagi membantu siasatan.

 

Beliau berkata pihaknya kini mengeluarkan arahan dan meminta bantuan Interpol dan berhubung dengan Korea Utara untuk menyerahkan semula warga mereka ke Malaysia.

 

Khalid berkata, pihaknya hari ini memohon untuk menyambung reman warga Indonesia, Siti Aishah serta wanita Vietnam dan lelaki Korea Utara terbabit.

“Kita akan sambung reman 7 hari lagi. Kita akan pertimbangkan sama ada kita boleh temui sebarang bukti. Kalau tidak ada bukti, mesti dibebaskan.

“Teman lelaki Siti Aisyah pula dibebaskan hari ini atas jaminan polis. Kami akan cari lagi 5 rakyat Korea Utara,” katanya.

Katanya, 4 daripada 5 suspek itu dipercayai terlibat secara aktif dalam usaha pembunuhan abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

“Kami sudah tangkap 4 orang, kami memohon untuk reman mereka ditambah hari ini,” katanya.

Minggu lalu, Jong Nam dilaporkan berada di lapangan terbang klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Jong Nam, yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.