Video: Bapa Doan Thi Huong Tak Percaya Anaknya Bunuh Jong Nam

VIETNAM – Keluarga wanita Vietnam yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam tidak percaya Doan Thi Huong terlibat dalam kes itu.

 

Bercakap kepada agensi berita AP di rumahnya di wilayah Nam Dinh, Doan Van Thanh, 63, mengesahkan  Thi Huong adalah anaknya.

 

Tetapi, dia tetap tidak percaya wanita berusia 28 tahun itu mampu melakukan jenayah sedemikian.

 

“Bagaimana dia berani membuat sesuatu yang  mengejutkan itu?” katanya.

 

Van Thanh, seorang veteran perang Vietnam yang terputus pergelangan kaki kanan akibat letupan periuk api berkata, polis menemuinya selepas Thi Juong ditahan bagi mengesahkan identiti anaknya, selain menawar bantuan menjaga hak asasi.

 

Katanya, anak perempuannya meninggalkan kampung itu kira-kira 10 tahun lalu untuk menyambung pelajaran di sekolah farmasi di Hanoi.

 

Katanya, kali terakhir Thi Huong menemui keluarganya adalah ketika sambutan Tahun Baharu Cina pada akhir Januari lalu apabila pulang ke kampung selama lima hari.

 

Katanya, selepas mendapat tahu Thi Huong ditahan di Malaysia, ahli keluarga cuba menghubunginya tetapi gagal.

 

Setakat ini, Thi Huong, seorang lagi suspek wanita Indonesia dan dua lelaki Korea Utara dan Malaysia ditahan berhubung kes pembunuhan Jong-nam.

 

Dalam kejadian 13 Februari lalu, Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un maut selepas dikatakan ditekup dengan kain mengandungi cecair racun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.