Trump Perkenal Peraturan Baharu LGBT Guna Tandas



WASHINGTON DC – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kini berusaha memperkenalkan peraturan baharu berkaitan penggunaan tandas sekolah oleh pelajar transgender, kata Rumah Putih semalam.

 

Pengumuman itu mencemaskan kumpulan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) serta ibu bapa di seluruh AS, yang menggesa Trump mengekalkan peraturan ditetapkan era bekas Presiden Barack Obama, membenarkan pelajar menggunakan tandas sekolah yang sepadan dengan identiti jantina mereka, bukan jantina ketika lahir.

 

Jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer bagaimanapun tidak memberi sebarang butiran berhubung peraturan baharu itu yang disediakan Jabatan Kehakiman, namun berkata, Trump berpendapat isu itu perlu diputuskan negeri, bukan kerajaan persekutuan.

 

“Saya fikir anda perlu melihat apa pandangan Presiden sekian lama, ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dicampuri kerajaan persekutuan, ini adalah isu hak asasi negeri,” kata Spicer.

 

Peraturan dikeluarkan pentadbiran Obama Mei lalu, memutuskan, pelajar transgender boleh menggunakan tandas dan menyertai pasukan atletik sekolah menurut identiti jantina sepadan dengan mereka.

 

Sekolah juga diarah melayan pelajar sejajar dengan identiti jantina dipaparkan mereka tanpa memerlukan sebarang bukti perubatan.

 

Ketika tindakan itu disokong pertubuhan hak asasi manusia, ia dibantah kumpulan konservatif, yang menggelarnya pendekatan keterlaluan persekutuan dan pelanggaran ruang peribadi serta keselamatan semua pelajar lain.

 

Ogos lalu, seorang hakim persekutuan mengeluarkan satu injunksi di seluruh negara membantah peraturan itu berdasarkan tuntutan daripada 13 negeri.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.