TMJ Bincang Jana Idea Bersama Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR – Calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat mengorak langkah awal apabila bertemu bekas Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai badan induk tempatan itu.

 

Menerusi kenyataan dan beberapa keping gambar dimuat naik di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers (JST) semalam, Tunku Ismail dilihat membincangkan mengenai hala tuju dan perubahan yang boleh dilakukannya selepas ini.

 

Biarpun pengganti Tengku Abdullah hanya akan diketahui pada Kongres FAM ke-5 pada 25 Mac depan, Tunku Ismail seolah-olah sudah dapat menjangkakan keputusan itu dengan beliau turut mengatur beberapa pertemuan termasuk berjumpa Exco FAM, Persatuan Pengadil dan penyokong Harimau Malaysia.

 

Dalam kenyataan ringkas di JST, beliau menyatakan sumbangannya dalam membantu FAM adalah atas kepercayaan dan sokongan tidak berbelah bagi penyokong bola sepak negara kepadanya.

 

“Johor DT (Johor Darul Ta’zim) adalah di mana letaknya hati dan cinta saya. Membantu FAM pula, adalah sumbangan daripada saya kepada semua penyokong bola sepak Malaysia,” katanya.

 

Selain itu, Tunku Ismail yang mewakili ayahandanya di Persidangan Majlis Raja-Raja di ibu kota turut dijadualkan bertemu dengan penganjur Liga Malaysia (Liga-M), Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi membincangkan isu ketiadaan siaran langsung aksi membabitkan pasukan Sarawak ketika ini.

 

Sebelum ini, perebutan ‘kerusi panas’ jawatan Presiden FAM bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dengan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).

 

Pengesahan pemilik Johor DT itu sekali gus menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat menarik diri daripada perebutan itu.

 

TMJ sebelum ini pernah bertanding jawatan Presiden FAM pada pemilihan penggal 2014-2018 tetapi tewas kepada Tengku Abdullah dalam pertandingan yang diadakan dua pusingan.

 

Pada pusingan pertama, Tengku Abdullah meraih 24 undi manakala TMJ mendapat 15 sebelum undian kali kedua dibuat dengan Tengku Mahkota Pahang tetap mengumpul sebanyak 27 undi berbanding TMJ 12.-Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.