Tindakan Husam Tidak Wajar, Kata Mohd Amar

KOTA BHARU – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa yang muncul pada ceramah Pas sehingga mencetuskan kekecohan disifatkan sebagai tidak wajar.

 

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Penasihat PAN Kelantan itu sepatutnya sedar daripada awal kehadirannya yang cuba mencetuskan provokasi itu boleh membawa ketegangan antara penyokong.

 

“Saya tidak tahu apa tujuannya, cuma bagi saya tidak sepatutnya berlaku. Kita sudah bagi tarikh, masa sesuai untuk tujuan debat tersebut (bai’ah). Kalau orang panggil kenduri, kena pergi hari kenduri, kalau pergi hari lain, akan menjadi masalah.

 

“Daripada satu sudut, tindakan Husam ini dilihat cuba mencari publisiti,” katanya ketika ditemui dipejabatnya di sini hari ini.

 

Ceramah bertajuk ‘Husam lari dari debat bai’ah’ yang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam Isnin lalu kecoh apabila Husam muncul di atas pentas tersebut dan duduk bersama pemimpin-pemimpin Pas sehingga mencetuskan kemarahan penyokong tegar parti itu

 

Kekecohan tersebut dikatakan bermula apabila salah seorang penyokong datang ke hadapan pentas meminta Husam berdebat di hadapan semua yang hadir.

 

Dalam masa yang sama, sekumpulan penyokong Pas mula ke depan pentas untuk menuju ke arah Husam bagaimanapun dihalang oleh anggota Unit Amal parti tersebut.

 

Ekoran daripada itu, Husam dibawa keluar daripada majlis tersebut bagi meredakan kemarahan penyokong Pas terhadap bekas Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan itu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.