Takut Dibunuh Punca Duta Korea Utara Terlebih Lantang?

KUALA LUMPUR – Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol dikatakan terpaksa lebih lantang menyuarakan ketidakpuashatian kerajaannya terhadap pengendalian Malaysia dalam penyiasatan pembunuhan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-Un.

 

Penganalisis Keselamatan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah berkata ini kerana Kang boleh dikenakan hukuman berat sekiranya dilihat tidak memperjuangkan hak negaranya dengan sebaik mungkin.

 

“Mungkin ada kebenarannya Duta Besar sekarang terpaksa menjadi lebih lantang bagi menunjukkan beliau menjalankan tugas untuk kerajaan Korea Utara. Bagi memastikan beliau tidak dilihat sebagai boneka yang digunakan Malaysia atau tidak aktif dalam memperjuangkan hak-hak Korea Utara dalam isu ini,” kata Kamarulnizam kepada Hari Ini 8 apabila mengulas hubungan diplomatik kedua-dua negara yang semakin tegang.

 

Mohd Kamarulnizam menggunakan contoh bekas Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Jang Yong Chol yang dihukum tembak sehingga mati oleh rejim itu pada 2014 selepas dipanggil balik dari Kuala Lumpur.

 

“Kita pun sedia maklum bahawa sebarang tentangan kepada rejim berkuasa tersebut, bukan sahaja mereka yang menentang dibunuh tapi seluruh keluarga mereka juga akan dibunuh.”

 

Kang Chol sebelum ini mendakwa Malaysia ‘berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar’ dan penyiasatan ke atas kematian Jong Nam didalangi oleh pihak yang berada di sebalik tabir’.

 

Beliau bagi pihak negaranya turut mendesak untuk menyertai siasatan bersama berhubung kematian Jong Nam, susulan menyatakan kurang yakin dengan siasatan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Jong Nam yang merupakan abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un, meninggal dunia pada 13 Feb lepas ketika dalam perjalanan ke hospital.

 

Jong Nam sebelum ini dilaporkan berada di KLIA2 sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun.-Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.