Suspek Bunuh Jong Nam Berlatih Di KLCC, Pavilion

KUALA LUMPUR – Dua suspek wanita yang ditahan dalam siasatan pembunuhan Kim Jong Nam, warganegara Korea Utara pada minggu lalu, tahu cecair digunakan itu beracun, kata Tan Sri Khali Abu Bakar.

 

Ketua polis negara itu pada sidang media hari ini juga mengesahkan 2 wanita terbabit datang ke klia2 dengan tujuan untuk membunuh Jong Nam, yang juga abang sebapa pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un.

 

“Ya. Sudah tentu mereka tahu. Sudah tentu anda nampak, 2 wanita itu menyapukan cecair (ke muka Jong Nam) dan mereka pergi ke tandas untuk membasuh tangan.

 

“Jadi, mereka sudah tentu tahu, ia cecair bertoksik,” katanya ketika menjawab soalan wartawan sama ada 2 wanita itu tahu atau tidak mereka membawa cecair beracun.

 

Pada Rabu minggu lalu, polis menahan seorang wanita pemegang pasport Vietnam, bernama Doan Thi Huong, selepas dia kembali ke klia2 untuk menaiki pesawat ke Vietnam.

 

Pada Khamis, polis menyerbu bilik di sebuah hotel di Ampang, Kuala Lumpur untuk menahan suspek wanita kedua warganegara Indonesia, Siti Aisyah dari Serang, Jakarta.

 

Kedua-dua suspek wanita itu dikenal pasti berdasarkan rakaman CCTV yang diambil dari terminal klia2 pada hari kejadian.

 

Khalid berkata pihaknya akan memohon reman kedua-dua wanita itu disambung selama 7 hari lagi bermula hari ini bagi membantu siasatan.

 

“Kami tidak rasa mereka terlibat dalam program ‘prank’. Kami percaya ia dirancang dan mereka dilatih untuk berbuat demikian (bunuh Jong Nam). Ya, mereka tahu apa yang dilakukan,” katanya.

 

Beliau berkata kedua-dua wanita terbabit menjadikan lokasi pusat beli-belah sebagai lokasi utama untuk berlatih melakukan aksi berkenaan.

 

“Berdasarkan siasatan kita, mereka sudah beberapa kali bertemu dan lakukan latihan. Mereka lakukan latihan di Pavilion dan KLCC. Aksi sebenar adalah ke atas subjek (Jong Nam),” katanya.

 

Isnin minggu lalu Jong Nam dilaporkan berada di klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

 

Jong Nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.