‘Senjata Paling Bahaya’ Milik Adolf Hitler Dijual RM1.08 Juta

WASHINGTON — Telefon peribadi Adolf Hitler yang digunakan untuk mengarahkan serangan Jerman dilelong dengan harga US$243,000 (RM1.08 juta).

 

Telefon itu yang diperbuat daripada plastik berwarna hitam, kemudian dicat merah, yang tertera namanya, lambang partinya swastika dan helang dilelong Ahad lalu, lapor AFP.

 

Berusia lebih 70 tahun, ia ditemui di kubu bawah tanah, tempat pemimpin Nazi itu bersembunyi, selepas Berlin tewas dalam Perang Dunia Kedua pada 1945.

 

Firma pelelong yang enggan mendedahkan identiti pembeli menganggarkan nilai barang antik itu sekitar US$200,000 (RM891,600) hingga US$300,000 (RM1.33 juta).

 

Menyifatkan telefon itu “senjata paling memusnahkan sepanjang zaman”, firma Alexander Historical Auctions memulakan bidaan dengan harga $100,000 (RM445,800).

 

Telefon jenama Siemens itu diberikan kepada Hitler oleh pasukan tentera Nazi di Wehrmacht dan digunakan untuk menyampaikan arahan dua tahun terakhir penguasaannya.

 

Pegawai tentera Rusia menyerahkan alat komunikasi itu kepada Sir Ralph Rayner,  pegawai tinggi tentera Britain, setelah menemuinya di dalam kubu itu sejurus ketewasan Jerman.

 

Anak lelakinya yang mewarisi telefon itu menjualnya. Warna merah itu kini sudah mula lekang sehingga ternampak warna asal hitam plastik Bakelite. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.