Proton Bukan Dijual, Hanya Perlu Rakan Strategik – Johari

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd memerlukan rakan strategik yang berupaya memperluaskan pasarannya di luar negara dengan menghasilkan kereta bermutu tinggi serta mengukuh kedudukannya dalam jangka panjang.

 

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sudah tiba masanya bagi Proton untuk berdiri sendiri setelah 32 tahun diselia kerajaan.

 

“Rakan strategik adalah bagi meningkatkan keupayaan Proton dari segi teknologi sekaligus meningkatkan keupayaannya bersaing di pasaran antarabangsa dan menghasilkan kereta bermutu tinggi,” kata Johari.

 

Beliau ditemui media selepas melancarkan Aplikasi Mobile Semakan Bantuan Rakyat 1Malaysia di sini Selasa.

 

Johari turut menolak dakwaan pihak tertentu bahawa Proton akan menjual 51 peratus sahamnya kepada syarikat asing dan menyebabkan kekayaan negara tergadai.

 

Beliau berkata kerajaan memandang serius kedudukan pengeluar kereta nasional itu yang telah menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam syarikat itu serta anak-anak syarikatnya.

 

“Ekosistem dalam Proton penting bagi kerajaan kerana kalau ia tidak diuruskan dengan baik, pekerjaan-pekerjaan yang diwujudkan itu akan hilang, satu situasi yang kerajaan tidak mahu lihat dalam keadaan ekonomi hari ini,” kata beliau lagi. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.